Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu 'Dataran Tok Pa' yang hangat diperkatakan beberapa hari lalu khususnya bagi rakyat negeri Kelantan dilihat satu strategi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Mamat berkata, pihaknya sedia maklum kawasan itu sudah sinonim dengan nama Dataran Ilmu yang menjadi tumpuan setiap hari Jumaat dengan pengisian kuliah agama sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun katanya, rakyat juga perlu dimaklumkan pembangunan di kawasan itu dinaik taraf oleh kerajaan persekutuan melalui peruntukan kepada JPP Kelantan.

"Dataran itu memang dinamakan Dataran Ilmu, tetapi pembangunan di situ peruntukannya disalurkan kerajaan persekutuan melibatkan kos RM450,000

"Jadi tidak sedap apabila ada penceramah hentam kerajaan pusat semasa berceramah di situ, kita rasa tak patut sedangkan kita bangunkan tempat," katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, JPP Kelantan dilaporkan menamakan dataran itu sebagai Dataran Tok Pa sempena nama Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang banyak berjaya kepada negeri itu.

Justeru, satu majlis perasmian Dataran Tok Pa diadakan pada Sabtu lalu dan meletakkan plak Dataran Tok Pa sebagai gimik perasmiannya.

Bagaimanapun, pada hari yang sama plak tersebut telah dicabut oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) susulan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dataran Ilmu terletak di kawasan tengah bandar Kota Bharu sebelum ini dijadikan tempat kuliah Jumaat sejak 30 tahun lalu sehingga kini dengan pengisian ceramah oleh penceramah jemputan termasuk pimpinan PAS.

Dataran Tok Pa bukan ganti Dataran Ilmu

Sementara itu Yahaya berkata, pihaknya sudah memaklumkan agenda acara itu diadakan malah sepanjang persiapannya turut dihadiri pegawai MPKB-BRI.

"Kita rujuk kepada PBT, kita letak nama Dataran Tok Pa bukan nak menggantikan Dataran Ilmu, tetapi sebagai pengiktirafan daripada JPP Kelantan.

"Tujuan kita supaya rakyat tahu, bahawanya projek itu projek kerajaan persekutuan. Kita tahu perlu kelulusan PBT, dan sudah tentu PBT tak luluskan," jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya tiada masalah apabila pihak MPKB-BRI mencabut plak tersebut dan objektif JPP Kelantan sudah tercapai.

"Kita tak ada masalah mereka nak buang balik, kita lebih kepada publisiti untuk rakyat tahu dataran itu dibangunkan oleh kerajaan persekutuan.

"Selain Dataran Ilmu itu, JPP Kelantan turut membangunkan frasarana astaka padang bola di Padang Perdana dan Padang Sintetik di Kota Bharu," katanya.
 

Lihat Komen
ADS