Rektor UiTM Kelantan Dr Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan menafikan pihaknya mengeluarkan arahan kepada kakitangan universiti itu untuk menghadiri pelancaran manifesto BN malam ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan surat bertarikh 18 April yang mewajibkan pensyarah dan kakitangan bukan akademik UiTM kampus Kota Bharu ke program itu, seperti yang beredar di media sosial.
Berdasarkan surat itu, arahan tersebut diberikan oleh Tuan Mohd Rosli selaku rektor.
"Tak betul, ia salah faham. Saya tidak tanda tangan surat itu.
"Saya terkejut bila dapat tahu (tentang perkara itu) lewat petang semalam. Ketika surat dikeluarkan (18 April iaitu semalam) saya tiada di pejabat," katanya (gambar) kepada Malaysiakini.

Beliau mendakwa kemungkinan ada pihak tertentu yang menggunakan cop tanda tangannya bagi mengeluarkan arahan itu.
"Ada orang guna cop tanda tangan saya. Ini bahaya dan saya akan musnahkan cop itu," dakwanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Tuan Mohd Rosli lagi, beliau memang memiliki sejumlah cop tanda tangan bagi memudahkan kerja pengesahan arahan dan sijil.
Menurut surat itu, program diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, dan kehadiran wajib dan akan direkodkan.
"Sehubungan dengan itu, Prof. Madya/Dr/Tuan/Puan diwajibkan menghadiri program tersebut. Kehadiran ke program ini akan direkodkan ke dalam jam latihan," kata surat itu.
Bagaimanapun sumber memaklumkan kepada Malaysiakini tentang arahan baru kehadiran ke pelancaran manifesto BN itu.
Dalam surat baru itu, ia masih menggunakan tanda tangan Tuan Mohd Rosli tetapi perkataan 'diwajibkan' ditukar kepada 'dijemput'.
"Sehubungan dengan itu, Prof. Madya/Dr/Tuan/Puan dijemput menghadiri program tersebut. Kehadiran ke program ini akan direkodkan ke dalam jam latihan," kata surat kedua itu.
Semuanya kerana salah faham
Tuan Mohd Rosli ketika dihubungi sekali lagi mengesahkan tahu tentang kewujudan surat kedua itu.
Beliau berkata perkara itu tercetus akibat salah faham seorang pekerjanya berhubung kehadiran kakitangan ke majlis pelancaran manifesto BN.
"Saya beritahu siapa nak pergi, pergilah (dan bukannya mengeluarkan arahan). Kemudian pekerja itu buat surat dengan cop saya. Saya memang betul-betul terkejut," katanya.
Katanya lagi, pekerja itu kemudian cuba memperbetulkan keadaan dengan mengeluarkan surat kedua dan menukar perkataan "diwajibkan" kepada "dijemput".
"Saya pula tiada di pejabat kerana ada kursus. Selepas terima emel saya tanya dia kenapa buat macam itu. Kini dia sudah takut dan tidak masuk ke pejabat," katanya lagi.
Walaupun maklum tindakan menggunakan cop tanpa kebenaran itu satu kesalahan, Tuan Mohd Rosli berkata beliau tidak akan membuat laporan polis dan meminta agar perkara itu tidak lagi diperbesarkan.
