Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Waktu ini sama ada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN) telah membentangkan manifesto bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi juga di peringkat negeri-negeri.

Amalan ini hanya wujud sekitar sedekad lalu—dan ini adalah budaya baharu yang dicetuskan sejak era Reformasi di mana setiap parti pelbagai peringkat berlumba-lumba menawarkan yang terdaya mereka garap.

Di sela-sela perkembangan positif ini, apa yang belum tercapai ialah debat antara calon. Misalnya debat antara calon perdana menteri BN lawan calon perdana menteri HARAPAN.

Kita ingat, paling tinggi debat dapat diadakan ialah antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Shabery Chik yang ketika itu menteri penerangan. Debat itu adalah debat tentang harga minyak.

Tidak ada susulan di peringkat seterusnya—termasuk di peringkat ketua-ketua pemuda parti mahupun di peringkat negeri, parlimen atau DUN-DUN. Oleh itu, kata-mengata di belakang terus menjadi amalan biasa politik, sama ada di media sosial atau media perdana.

Masing-masing bercakap bergegar-gegar di hadapan penyokong masing-masing. Dek kerana tiada debat terbuka secara budiman dan waras, maka banyak keperluan rakyat tidak dapat diperbincangkan serta tercecer. Antara yang dapat saya nyatakan di sini ialah keperluan penubuhan sebuah maktab Islam Johor.

Pemerintah terlalu selesa

Johor terkenal dengan negeri yang mempunyai sistem pendidikan sekolah agama yang sangat baik di Malaysia. Terbentuk sejak 1923 lagi.

Kini apa yang ditawarkan pentadbiran Johor ialah menarik sampai ke bawah pendidikan awal agama selain mewujudkan tadika agama. Namun di saat kita menarik ke bawah sampai ke awal usia anak-anak agar sudah diberikan pendidikan agama, kita juga wajar menarik ke atas pendidikan seumpama agar sampai pula ke menara gading.

Setiap yang mampu mencapai ke tahap itu wajar pula mampu menguasai beberapa bidang kemahiran dan ilmu lain seperti pentadbiran, pengurusan mahupun falfasah.

Sewaktu saya membesar, sekolah agama Johor lebih dikenali sebagai 'sekolah petang'. Maksud 'sekolah petang' ialah selepas habis sesi sekolah kebangsaan pada sebelah pagi, maka anak-anak Melayu-Islam di Johor akan menghadiri sekolah agama yang diadakan pada sebelah petang pula iaitu kira-kira seusai masuk waktu Zuhur.

Tingkat tertinggi sekolah agama di Johor ialah sampai darjah khas. Hanya mereka yang lulus cemerlang di darjah enam, layak naik darjah khas. Sesiapa yang lulus darjah khas pula sebenarnya mempunyai kelayakan untuk menjadi cikgu di sekolah agama kerajaan negeri. Maka matlamat dari Johor untuk Johor dapat dilaksanakan dalam pusingan yang kemas dan terbukti ini.

Sistem ini sudah dipakai begitu lama. Namun, akibat terlalu lama juga memungkinkan pemerintah terlalu ‘selesa’ sehingga tiada sesiapa yang memikirkan untuk mengembang dan memperkasakan lagi sistem pendidikan Islam di Johor. Khabarnya apa yang wujud hanyalah kerjasama dengan Universiti Al-Azhar ketika peringkat awal penubuhkan sebuah institusi yang dikenali sebagai Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).

MARSAH pun sudah berusia lebih 20 tahun. Sudah tentu selepas begitu lama, adalah munasabah untuk sekurang-kurangnya sebuah maktab pula diwujudkan.

Peneraju kemajuan duniawi

Tujuannya bolehlah saya nyatakan dengan jelas iaitu tidak lain untuk memberi peluang kepada murid-murid yang cemerlang di darjah khas untuk mengembangkan lagi potensi diri dan cakupan ilmu mereka.

Fokus juga harus lebih luas iaitu bukan sahaja untuk melahirkan calon-calon guru agama untuk mengajar di sekolah-sekolah agama kerajaan Johor, tetapi dapat pula membekalkan guru-guru agama ke sekolah-sekolah atau institusi agama di luar Johor.

Keistimewaan kefahaman Islam di Johor ialah apabila perihal agama tidak diambil secara keras. Islam selalu ditekankan sebagai agama yang sederhana, yang bukan sahaja boleh mengikuti arus kemajuan, tetapi boleh juga menjadi peneraju kepada kemajuan duniawi itu sendiri.

Orang Melayu Johor pula sudah sekian lama sedar bahawa wujudnya masyarakat berlainan agama dan bangsa di tengah-tengah kita. Bahkan, jiran Johor yang terdekat iaitu Singapura juga bukan “negara Islam”, melainkan dipimpin oleh pemimpin yang berlainan kaum dan agama.

Kepesatan kemajuan Singapura dengan wujudnya pekerja dari Johor yang berulang-alik setiap pagi dan petang ke sana tidak sedikit pun menggugah kefahaman dan pegangan Muslim di Johor.

Sudah tentu tanpa toleransi yang tinggi dan kefahaman agama yang sederhana, mustahil Melayu Johor dapat bersama memajukan diri dan negeri.

Banyak sekali wilayah di dunia menjadi hancur binasa akibat kefahaman agama yang keras dan tekanan jiwa Muslim yang hidup di bawah paras kemiskinan serta tertutup peluang.

Proses memodenkan pendidikan adalah satu proses yang berterusan. Termasuklah di dalam soal pendidikan agama—dan sudah tentu, dengan melahirkan Muslim yang baik serta taat agama, maka penganut agama lain juga dapat hidup berdampingan secara damai dan sejahtera.

Hari ini biarlah saya rakamkan gagasan ini agar suatu hari nanti dapatlah dilihat bahawa gagasan ini adalah yang pertama perlu diutarakan.

Dalam kesedaran inilah, maka penubuhan sebuah maktab Islam Johor wajib diperjuangkan. Walaupun agenda ini tidak wujud di dalam mana-mana manifesto parti politik, itu tidak bererti esok akan kiamat kepada sistem pendidikan agama di Johor.

Kita masih ada kesempatan berjuang di luar manifesto. Namun penentu utama kepada matlamat merealisasikan maktab Islam Johor akan lebih terbuka sekiranya rakyat Johor dapat memilih pemimpin yang mempunyai “jiwa sekolah agama Johor” yang kental.

Dan mereka wajib di kalangan orang Johor kerana hanya mereka yang lahir, membesar dan bergelumang dengan keringat orang Johor sahaja yang dapat memahami denyut nadi bangsa Johor. Sistem pendidikan yang beku juga boleh mengundang bangsa mana pun kembali ke zaman gelitanya. Umpama pantun:

Baju Melayu Telok Belanga,
Dipakai berjalan ke Kota Tinggi;
Budaya dijungjung bersendi agama,
Barulah molek budi pekerti.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS