Malaysiakini
BERITA

PAS: 'RM2.5 juta' itu derma individu, bukan dari Umno

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Apr 2018, 3:52 pagi

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Zuhdi Marzuki menolak dakwaan partinya menerima dana daripada Umno.

Bercakap di suatu forum semalam, beliau mengulangi kenyataan PAS bahawa dasar parti itu terbuka untuk menerima sumbangan daripada sesiapa saja termasuk di kalangan individu.

"Bekas pimpinan PAS sendiri kata kita dapat RM1.5 juta, RM1 juta dalam bank, ini adalah merupakan derma. Derma daripada individu, bukan Umno, bukan daripada Umno, bukan dari pejabat Umno.

"Kenapa, apa dia, selain itu kita ucap terima kasih, lepas ini kalau ada yang mahu derma RM5 juta, alhamdullilah," kata Zuhdi.

Bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang keluar PAS awal tahun ini mendakwa sejumlah RM1.5 juta telah didepositkan ke pejabat PAS pusat dan tiga pemimpin PAS Terengganu menerima RM1 juta.

Semalam, PAS telah mencabar Mahfuz untuk membuat laporan kepada SPRM sekiranya beliau mempunyai bukti bahawa parti itu menerima dana daripada Umno.

Apabila dihubungi, Zuhdi menjelaskan lebih lanjut bahawa beliau tidak tahu jumlah dana yang diterima PAS untuk tabung pilihan raya parti Islam tersebut yang dilancarkan lebih setahun lalu.

"Mahfuz berkata kami menerima RM1.5 juta dan RM1 juta, saya tidak peduli jumlahnya (dalam akaun kami), tetapi apa yang penting ialah wang itu datang dari rakyat," katanya.

"Sesiapa pun boleh membiayai kami kecuali dana yang datang daripada Umno, pemimpin Umno, Pakatan Harapan dan pemimpin HARAPAN, kami juga tidak menerima derma asing," katanya.

Namun, beliau berkata tidak ada cara untuk PAS mengesan jika wang itu datang daripada pemimpin parti.

"Sekiranya Umno (menyalurkan dana ke akaun kami melalui akaunnya), maka ia akan menunjukkan Umno (sebagai pemilik akaun itu), tetapi kita tidak akan tahu jika penderma individu itu ialah anggota HARAPAN," jelas Zuhdi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.