Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Undang-undang pertubuhan tak seketat hukum syarak

Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membenarkan Umno menangguhkan pemilihan parti sebanyak dua kali mungkin setelah menilai peruntukan undang-undang yang ada, kata Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata terdapat ruang untuk membuat penilaian itu memandang ia adalah undang-undang manusia dan tidak seketat hukum syarak.

"Tak ada salah sebab undang-undang ini buatan manusia, maka sudah tentu ia bukan seketat hukum syarak.

"Jika ada hal berkaitan pertubuhan kita buat permohonan kepada ketua pengarah ROS (Surayati Ibrahim). Jika beliau kata ok, maka oklah.

"Biar ROS buat keputusan, saya tengok tak ada apa yang salah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada Jun 2015, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penangguhan pemilihan parti itu bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi PRU ke-14. Kali terakhir Umno membuat pemilihan parti adalah pada 19 Oktober 2013.

Hari ini sejumlah 16 anggota Umno memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar kesahihan Umno kerana menangguhkan pemilihan parti itu.

Tokoh veteran Umno Tan Sri Rais Yatim (gambar) juga menggesa MT tidak memandang remeh soal perlembagaan parti dan mendapatkan pengisytiharan mahkamah sama ada penangguhan itu sah atau tidak.

Mengulas gesaan Rais itu, Nazri yang juga penyandang Parlimen Padang Rengas berkata hal itu perlu dirujuk kepada ROS memandangkan PRU ke-14 bakal dilaksanakan beberapa minggu lagi.

"PRU sudah dekat (jadi) macam mana nak buat pemilihan? Apa pun hak ROS untuk tentukan, yang penting kita mohon pada mereka," katanya lagi.

Menurut Fasal 9.3 perlembagaan Umno, Majlis Tertinggi hendaklah dipilih setiap tiga tahun, dengan lanjutan tambahan 18 bulan dibenarkan di bawah Fasal 10.16.

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini berkata ROS telah memberikan kelulusan kepada parti itu untuk menangguhkan pemilihan sehingga 19 April 2019.
 

Lihat Komen
ADS