Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid ke Australia untuk dapatkan semula RM2.6 bilion
Diterbitkan:  Apr 23, 2018 12:31 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Datuk Zaid Ibrahim mendedahkan beliau berada di Sydney, Australia minggu lepas untuk mengarahkan Peguam Cara Levitt Robinson menyiasat kemungkinan untuk mendakwa ANZ Bank di Australia bagi mendapatkan semula dana RM2.6 bilion.

Bekas menteri undang-undang itu menegaskan jumlah itu dicuri daripada 1MDB walaupun pihak berkuasa Malaysia menafikannya.

Dalam tulisan di blog hari ini, Zaid berkata ANZ menguruskan AmBank pada masa ini dan masih merupakan pemegang saham AmBank di Malaysia.

"Saya percaya ANZ bertanggungjawab, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi pengubahan wang haram yang dimiliki oleh rakyat negara ini.

"Ini adalah sumbangan saya yang terakhir sebelum 9 Mei 2018," tambah beliau merujuk kepada pilihan raya umum bulan depan di mana pembangkang menjadikan skandal RM2.6 bilion dan 1MDB sebagai isu utama mereka.

Menyedari terdapat isu lokus standi yang perlu diatasi di Australia, Zaid percaya ruang lingkup undang-undang di negara itu lebih luas dan mahkamah akan memberikan kebenaran untuk menyiasat.

"Mahkamah Australia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk perbuatan haram oleh syarikat-syarikatnya, walaupun perkara itu dilakukan di luar Australia. Ini meletakkan saya dalam situasi yang baik," katanya.

Zaid berharap Stewart Levitt akan mengambil kes tersebut dan bertindak bagi pihak rakyat Malaysia yang menanggung kerugian dari 1MDB memandangkan hal itu tidak akan berlaku sekiranya ia diuruskan dengan betul.

"Saya mahu kes itu dibawa di mahkamah Australia dengan komitmen bahawa, jika ada dana yang rugi disebabkan oleh ANZ Bank, mahkamah akan mengawasi penggunaannya secara menyeluruh dan demi kepentingan rakyat Malaysia.

"Ini termasuk menyediakan pendidikan yang lebih baik, lebih banyak biasiswa dan khidmat sosial yang lebih baik, yang boleh dibiayai dari kewangan 1MDB.

"Banyak yang boleh kita buat, tetapi keluar mengundi pada 9 Mei adalah paling penting dari semua itu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS