Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Antara nama paling tular sejak nama calon BN Johor belum diumumkan semalam ialah nama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Puad Zarkashi.

Puad akhirnya memang tidak diletak sebagai calon walaupun dia dilihat sebagai orang yang paling kuat mempertahankan Najib Razak.

Puad juga sejak setahun lalu menjadi panglima perang yang menghentam kuat Dr Mahathir Mohamad.

Khabar-khabar menyebutkan, Umno Johor pimpinan Khaled Nordin berat sekali hendak menyelamatkan Puad di Batu Pahat.

Bukan kerana Puad tak punya pangkat. Selain menjadi bos JASA Puad ialah ketua bahagian Umno Batu Pahat. Masalahnya Puad dipercayai tidak popular di kawasannya sendiri.

Isu mudah yang melingkari Puad, dia dikatakan sombong dengan penduduk Batu Pahat.

Faktor berkenaan menjadi antara penolakan sehingga Puad kalah dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Meskipun beliau kalah tipis - iaitu sekitar 1,700 undi - bagi nama besar seperti Puad, kekalahan itu tidak boleh diterima sama sekali oleh BN Johor.

Calon yang diumum mewakili BN Batu Pahat ialah ketua wanita Umno di bahagian itu, Haliza Abdullah. Berbanding Puad, Haliza tidaklah begitu dikenali masyarakat umum.

Berwatak lembut, mesra penduduk

Namun oleh kerana Haliza orang baru, imejnya belum dicemari persepsi negatif dan namanya juga masih ‘bersih’.

Seorang lagi calon muka baru yang diketengahkan ialah timbalan Puad, Zaidi Jaafar yang akan bertanding di DUN Senggarang.

BN Batu Pahat menang mengharapkan kemenangan melalui dua DUN iaitu Senggarang dan Rengit. Satu lagi DUN - Penggaram - adalah kawasan hitam apabila Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui DAP menang dengan majoriti lebih 10,000.

Di jangka dalam PRU ke-14 pada 9 Mei ini majoriti itu akan meningkat lagi.

Kawasan parlimen Batu Pahat kini dianggap kerusi kelabu kepada BN Johor. Pada masa sama mereka mengharapkan PKR mengekalkan Idris Jusi (gambar) sebagai calon kerana percaya penyandang kerusi Batu Pahat itu boleh dikalahkan.

Perwatakan Idris lebih lembut dan mesra penduduk. Masalah yang melingkari Idris hanyalah faktor umurnya, selain dia dikatakan sebagai calon payung terjun dalam PRU lalu.

Sentimen pengundi Batu Pahat - khususnya Melayu - ialah mereka mahukan anak tempatan. Idris lahir dan dibesarkan di Rengit.

Faktor itu juga yang menyebabkan Idris boleh menang dalam PRU ke-13 walaupun dia dikatakan calon pilihan pusat dan bukannya pilihan cabang PKR Batu Pahat.

Peluang lebih besar

Sekiranya PKR membawa masuk orang luar yang bukan dari Batu Pahat, belum tentu calon berkenaan boleh menang walaupun membawa nama besar.

Cara dan budaya politik masyarakat tradisi seperti di Batu Pahat memang begitu. Mereka boleh menerima sesiapa saja asalkan calon itu anak tempatan.

Begitulah masalah yang akan dihadapi oleh calon PAS, Mahfodz Mohamed yang namanya diumum pada hujung minggu lalu.

Sekiranya diambil kira faktor jawatan dalam parti, sudah tentu Mahfodz sangat layak kerana beliau merupakan ketua Dewan Ulama PAS dan pesuruhjaya PAS Johor.

Namun jawatan dalaman parti bukanlah pertimbangan masyarakat di Batu Pahat. Mereka sebenarnya tidak peduli pun tinggi mana jawatan seseorang dalam partinya.

Mungkin atas kesedaran inilah maka nama Puad digugurkan. Umno sudah belajar sedikit daripada kesilapan lalu mereka.

Lebih tidak kena apabila Mahfodz juga antara calon yang bertanding dua kerusi. Selain menjadi calon parlimen Batu Pahat, beliau akan bertanding juga di DUN Gambir dan bakal berhadapan dengan Pengerusi HARAPAN Johor, Muhyiddin Yassin.

Mahfodz akan dilihat tidak bertanggungjawab kerana jarak antara DUN Gambir ke Batu Pahat agak jauh dan perjalanan antara dua lokasi itu boleh mengambil masa lebih dari sejam.

Bagaimana seorang yang sudah berusia 74 tahun boleh berulang-alik, misalnya, dari Rengit ke Bukit Gambir?

Sudah tentu strategi bertanding dua kerusi yang jauh begitu adalah tidak bijak sama sekali.

Faktor anak tempatan

Sekiranya tinjauan langsung dilakukan di kalangan masyarakat Batu Pahat, selain faktor anak tempatan, mereka juga mahukan calon yang lebih muda. Calon muda akan memberikan mana-mana parti peluang menang lebih besar.

Hanya calon muda yang boleh diharapkan membawa suara masyarakat Batu Pahat ke parlimen nanti.

Jumlah pengundi baru di Batu Pahat sangat besar iaitu lebih 20,000 orang.

Kini Parlimen Batu Pahat mempunyai pengundi lebih 90,000 atau bersamaan dua kali jumlah pengundi bagi parlimen Muar.

Dengan semangat sukan terutama bola sepak yang tinggi di Johor, calon orang muda memang bakal memberi kelebihan kepada parti mana sekalipun.

Mustahil di sebuah negeri yang terkenal dengan pasukan JDT, masyarakatnya lebih cenderung mahukan calon yang sudah putih rambutnya.

"Semangat JDT" itu juga telah mendorong agar diangkat anak tempatan sebagai calon.

Bayangkanlah bagi sebuah pasukan bola sepak, terlalu ramai pemain import pasti akan membuatkan penyokong gelisah dan tidak senang.

Kalau pun menang, mereka tidak boleh berbangga sepenuhnya seperti pasukan yang mempunyai pemain tempatan.

Bagi mempertahankan kerusi parlimen Batu Pahat, HARAPAN wajib mempertimbangkan dua faktor itu iaitu calon muda dan anak tempatan yang akan membawa suara denyut nadi orang Batu Pahat di Dewan rakyat.

Di sinilah peluang melakar kemenangan sekali lagi oleh HARAPAN berbanding BN dan PAS.


Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS