Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Saya tidak pasti bagaimana sambutan orang ramai terhadap siri-siri drama petang di TV sekarang. Sudah lama benar tidak menonton TV dalam erti kata menikmati siaran seperti selayaknya.

Mungkin tidak seburuk nasib akhbar cetak, siaran TV masih boleh bertahan lebih dalam dan relevan ketika media itu tetap dicabar kemudahan digital dan langit terbuka.

Tetapi walau apa pun medianya, emosi memang suatu komoditi yang mudah didagangkan sebagai komoditi. Kira-kira sama jugalah dengan beberapa siri realiti hiburan yang pernah membuat jutaan penonton melekat di depan TV selama berjam-jam.

Begitulah sifat seni bagi hiburan. Ia menggabungkan unsur debaran, kesedihan, harapan serta tidak kurang juga keberkesanan lakonan.

Kurang dari lima hari lagi untuk tiba ke tarikh 28 April, drama dan emosi itu nampaknya melimpah pula ke luar TV. Ada bermacam versi drama itu namun genrenya tetaplah seperti 'opera sabun'.

Ia adalah babak yang terjadinya berulang-ulang setiap empat atau lima tahun sekali. Puncanya, tentang kerusilah.

Itulah masalah kita. Kerusi terhad tetapi jumlah orang yang kemaruk kepadanya sangatlah ramai. Ia akan menjadi lebih sulit apabila pembahagian kerusi dibuat dalam kalangan gabungan yang dibina atas dasar muafakat.

Muafakat diperdagangkan

Namun kata "muafakat" itu pun kadang-kadang diletakkan pada taraf komoditi juga. Dalam huluran tangan untuk bersalam, muafakat itulah yang diperdagangkan. Sesekali ia dijual pada harga murah.

Apabila tiba pilihan raya umum (PRU) sesebuah parti akan berdepan konflik. Pemimpinnya juga berdepan konflik. Antaranya untuk menjaga hati semua penyokong, atau memuaskan hati sebahagian besar orang bawahannya.

Justeru ada penyesuaian yang dilakukan di sana sini. Paling sensitif tentulah pemilihan calon. Ada yang gugur, ada yang diangkat.

Maka di situlah rasa meluat kadang-kadang hadir. Ketika kumpulan yang sangsi atau bersikap negatif kepada parti politik terus berkembang, ulah sesetengah ahli politik akan lebih memburukkan keadaan.

Ketika di ambang penamaan calon inilah kita melihat wayang demi wayang dipaparkan oleh mereka. Pedulilah sama ada mereka menangis, merajuk, mengamuk atau sebagainya.

Sebagai pengundi kita sepatutnya membentak mereka dengan kata tanya: Kamu ini mahunya apa?

Pada waktu sebegini jugalah kita dipaksa untuk lupa kata-kata - yang turut menjadi komoditi - mereka sebelum ini. Berjuang demi rakyat, kononnya. Dan selepas menjadi wakil rakyat, membantu orang ramai seakan-akan mustahil dilakukan tanpa bergelar YB.

Suatu ketika dulu sebahagian orang percaya bahawa politik itu kotor. Namun melalui beberapa usaha pencerahan, dapat difahamkan bahawa bukan politik itu yang kotor tetapi ahlinya itulah yang menjijikkan.

Apa rakyat di hati ahli politik?

Sekarang dapat dilihat betapa kemaruknya seorang demi seorang ahli politik itu. Menangis, merajuk, mengugut, membentak dan seumpamanya.

Jadi kita ini - rakyat - sebenarnya apa di hati mereka?

Menggantikan wakil rakyat selepas lima penggal tidak boleh. Mengubah wakil rakyat selepas dua penggal, dilarang. Mengetepikan wakil rakyat selepas lapan penggal, pun pantang juga.

Maka bermunculanlah watak-watak yang membawa emosi rakyat ke sana sini. Agenda disusun secara diam-diam atau terbuka. Perang saraf dilancarkan dengan terancang. Pertemuan itu dan ini diatur.

Memanglah di mata umum segalanya dipersembahkan dengan bahasa diplomasi. Bagi pihak yang memahami, kemelut itu tetap dapat dikesan dengan mudah.

Namun di kalangan orang terbanyak, itu adalah harapan. Malangnya harapan itu hanyalah faktor luaran dan ia membaluti suatu pengkhianatan.

Mengapa? Sebab ahli politik yang bertengkar itu sebenarnya tidak memikirkan apa-apa pun. Soal pengundi yang memilih mereka menjadi YB pun tidak diendahkan, apa lagi rakyat terbanyak yang mengharapkan mereka mengubah keadaan kepada yang lebih baik.

Yang sudah ada kerusi bermati-matian mahu kekal seolah-olah tiada lagi umat manusia di atas muka bumi ini mampu berkhidmat seperti mereka.

Di pihak lain, ada pula yang berasa dia mampu menyelesaikan segala masalah jika terpilih menjadi calon pilihan raya.

Masalah kos sara hidup, rakyat sesak

YB sedia ada tidak menepati prasyarat untuk perubahan, kononnya. Sudah berusia lanjut dan tidak efektif katanya.

Tapi pada asasnya semua itu bermatlamatkan kekal mendakap kuasa - atau dalam konteks sekarang - mahu berpaut kepada kerusi. Kuasa dan kerusi.

Pergulatan ini berlaku ketika rakyat terbanyak sesak bernafas dengan masalah kos sara hidup yang semakin membebankan.

Jadi sebenarnya, barangkali mereka berasa sememangnya mereka itu wajib diundi untuk menjadi YB sampai mati.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS