Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
11 etnik Uighur didakwa masuk Malaysia tanpa dokumen sah

Seramai 11 etnik Uighur China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Zakaria Arman, Salehudin Ali, Jaefar Amin, Osman Abbas, Alim Osman, Asen Ziyali, Taher Kasim, Ibrahim Rexiti, Nurudin Muhammad, Abdul Kader dan Yusof Ahmed, yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 40 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Turki di hadapan Majistret Zuhairi Rosli.

Kesemua lelaki itu didakwa sebagai warganegara asing telah memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah di perkarangan Balai Polis Sentul di sini pada 10.50 pagi 31 Jan lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan sebatan tidak lebih dari enam kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bustamam tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 31 Mei untuk sebutan semula kes kesemua tertuduh itu, yang diwakili peguam Zainal Omar, Fahmi Abd Moin, Ilyani Khuzairy dan Raimi Ab Rahim.

Pada 22 Nov lepas, media melaporkan bahawa Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk mengesan tahanan Uighur berkenaan yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Pada 21 Nov tahun lepas, dalam insiden 2 pagi (waktu tempatan), beberapa etnik Uighur Muslim China yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka telah meloloskan diri dari pusat tahanan negara itu. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS