Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa jadi 34 lot lagi tanah DBKL yang dijual itu, soal Lip Eng

Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng mahu Menteri Wilayah Persekutuan Sementara, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi penjelasan berhubung 64 buah lot tanah yang telah dijual oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Lim, beliau mempersoalkan jawapan bertulis yang diberi semasa sesi Parlimen lalu mengenai tanah yang telah dijual oleh Kementerian Wilayah Persekutuan itu kerana tiada butiran lanjut yang disertakan berhubung perkara berkenaan.

Malah, beliau turut mempertikaikan daripada 64 buah lot, hanya 30 lot tanah sahaja yang digunakan untuk membina rumah awam seperti Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Sehubungan itu, Lim berkata, beliau mahukan jawapan daripada Tengku Adnan berhubung penjualan lot tanah tersebut.

"Jawapan betulis memberitahu sebanyak 64 lot tanah telah dijual, tetapi daripada 64 lot tanah itu, saya kira hanya separuh sahaja iaitu 30 lot sahaja untuk membina rumah awam dan selebihnya untuk tujuan komersial dan membina kondominium.

"Jadi soalan saya kepada Tengku Adnan, adakah kesemua 64 lot tanah ini dijual melalui tender terbuka?

"Saya mahukan jawapan sebelum hari penamaan calon," katanya pada sidang media di Kepong, hari ini.

Berdasarkan jawapan bertulis yang diberikan, Kementerian Wilayah Persekutuan memberitahu sehingga kini pihaknya telah menjual sebanyak 64 lot tanah yang berkeluasan 424.29 ekar dengan harga jualan RM4.28 bilion.

Jawapan bertulis itu juga memberitahu, tanah yang dijual bertujuan untuk penyediaan rumah mampu milik di samping menyeimbangkan keperluan persekitaran dengan pembangunan bercampur yang merangkumi kedai pejabat, pangsapuri harga bebas dan sebagainya.

Dalam jawapan bertulis berkenaan juga terdapat maklumat yang memberitahu antaranya berhubung pembinaan 200 RUMAWIP, 200 rumah kos rendah dan 2,060 unit kediaman harga bebas yang dibina di sebuah mukim di Kuala Lumpur

Justeru, beliau mempersoalkan jumlah kediaman harga bebas yang dibina lebih banyak berbanding RUMAWIP dan rumah kos rendah.

"Dia tulis kediaman harga bebas. Berapa harganya? Boleh jadi RM1 juta. Dan kenapa kediaman harga bebas ini dibuat lebih banyak.

"Ada juga yang mereka tulis mengenai pembangunan bercampur. Berapa banyak pembangunan bercampur?

"Mereka kata tanah dijual untuk penyediaan rumah mampu milik, ini bohong. Hanya separuh sahaja tanah itu dibuat untuk RUMAWIP dan perumahan awam," katanya.

Oleh itu, menurut Lim, sekiranya beliau tidak menerima jawapan daripada Tengku Adnan, pihaknya akan mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita akan mempertimbangkan untuk membuat 64 laporan kepada SPRM (sekiranya tak dapat jawapan sehingga hari penamaan calon)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS