Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangunan luar bandar 'dekat di hati’ Najib
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 4:23 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu diberikan kuasa politik bagi meneruskan agenda pembangunan luar bandar yang masih belum selesai, kata Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menyifatkan agenda pembangunan luar bandar sebagai 'dekat di hatinya' kerana dimulakan oleh ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri berharap supaya beliau diberikan kemenangan untuk meneruskan kesinambungan perkara itu.

"Kalau tiada penguasaan politik, tidak perlu berhabis modal bercakap sampai berbuih-buih mulut, tiada makna jika menangis keluar air mata darah sekalipun kerana semuanya sudah terlambat jika Putrajaya jatuh ke pihak lain.

"Saya duduk di Putrajaya tapi saya sedar itu adalah disebabkan oleh mereka di Lipis. Inilah asas politik kita dan nombor satu dalam peraturan politik adalah jaga asas politik anda," katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Umno Bahagian Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad yang juga penyandang kerusi Parlimen Lipis dan barisan kepimpinan BN Lipis.

Pada majlis itu, Najib juga meluluskan peruntukan untuk menaik taraf loji rawatan air Benta dan pembinaan sebuah kompleks sukan di Kechau di sini, yang dianggarkan bernilai RM10 juta.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengingatkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukanlah pertembungan antara beliau dan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi merupakan pertandingan di antara BN yang ditunjangi Umno dan pembangkang yang diterajui DAP.

Beliau berkata pembangkang terlalu banyak bersandiwara dan lakonannya yang boleh dinilai daripada kenyataan pemimpinnya seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang kononnya dahulu hendak membawa Dr Mahathir ke mahkamah, namun kini mengangkatnya untuk dijadikan Perdana Menteri.

"Jadi apa cerita ini? Cerita pelik, cerita yang tidak ikhlas kerana di hati lain dan di mulut lain... Kita tidak boleh terima pembangkang seperti ini.

“Saya ingat Dr Mahathir dan (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia) Tan Sri Muhyiddin Yassin kata DAP parti yang rasis, anti-Islam dan anti-Melayu... Ini bukan saya yang kata tapi mereka yang kata semasa mereka dalam Umno.

"Jelas sekali jika mereka (menang) boleh kita rayu daripada DAP? Boleh kita minta loji air? Boleh minta kompleks sukan? Buat muka sedih pun tidak lepas. Tapi dengan saya, petik sedikit-sedikit pun jadi kerana saya wakili parti yang berakar umbi dari kawasan seperti di Lipis," katanya.

Najib juga menempelak pembangkang kerana mencerca orang miskin yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan menyamakan mereka seperti 'ayam dan itik' namun pada manifesto mereka memberi jaminan untuk meneruskan pemberian bantuan tunai itu.

Katanya, niat pembangkang berbuat demikian sudah pasti untuk mendapatkan undi kerana sedar bahawa orang ramai akan marah sekiranya mereka menghentikan bantuan tersebut.

Dalam ucapannya, perdana menteri juga menyebut bahawa daerah Lipis adalah sebahagian daripada dirinya kerana dilahirkan di kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, 65 tahun lalu, menjadikan daerah itu terlalu dekat di hatinya.

"Saya tersentuh hati apabila ada yang bersalaman dan mengucapkan selamat kembali kepada saya. Bila balik kampung saya hendak merayu pastikan kemenangan Parlimen Lipis kekal di tangan BN bersama-sama dengan tiga DUN (Dewan Undangan Negeri) di sini," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Najib turut melawat Hospital Kuala Lipis bagi meninjau mesin pengimbasan tomografi berkomputer dan meluangkan masa kira-kira 15 minit di Unit Pengimejan Diagnostik di hospital itu selain diberikan taklimat ringkas tentang mesin itu oleh Pengarah Hospital Kuala Lipis Dr Sarifudin Saad.

Pemasangan mesin tersebut diumumkan perdana menteri selepas beliau merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Lipis yang ke-29 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis, pada Julai 2017.

Dalam pada itu, menurut Ketua Unit Radiologi Hospital Kuala Lipis Nik Mohd Shah Eram, sehingga kini lebih 300 kes pemeriksaan telah dijalankan sejak ia mula beroperasi pada 28 Jan lepas.

Mesin melibatkan peruntukan RM3 juta itu memberi manfaat kepada pesakit di Lipis dan kawasan Pahang Barat meliputi Raub dan Cameron Highlands, selain pesakit dari Gua Musang, Kelantan.

Ia merupakan yang pertama di daerah Lipis dan yang ketiga di Pahang yang mana dua lagi mesin berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

"Mesin ini dapat mempercepatkan proses pemeriksaan dan rawatan kepada pesakit yang mana sebelum ini pesakit di daerah Lipis dan kawasan sekitar perlu dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh iaitu kira-kira 170 kilometer dari Lipis," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS