Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRU14 l Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan berkata pengumuman syarat terbaru SPR bertujuan membantu BN memenangi pilihan raya umum akan datang.

Lim berkata syarat tambahan SPR itu untuk mensasarkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan calon perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ia usaha Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membantu BN menipu pilihan raya. Tidak adil, jangan biarkan mereka melakukannya," kata Lim pada sidang akhbar di Komtar, Pulau Pinang hari ini.

Dia mendakwa SPR tidak konsisten dan bertanya kenapa Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Abdul Razak dan calon-calon menteri besar boleh pula dibenarkan menggunakan imej mereka dalam poster.

"Jika calon MB boleh menggunakan poster mereka, kenapa tidak calon PM kita?" Soal Lim.

Lim berkata apabila Parlimen dibubarkan pada 7 April, tiada lagi taraf ketua menteri, menteri besar atau perdana menteri, kerana mereka menjadi wakil kerajaan sementara.

Secara berasingan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mengingatkan peranan SPR, sebagaimana termaktub Perlembagaan Persekutuan, hanya dalam tiga bidang kuasa iaitu mendaftar pengundi, menggariskan sempadan pilihan raya dan mengadakan pilihan raya.

"Perkara yang paling tidak perlu adalah untuk SPR memutuskan wajah siapa yang boleh atau tidak boleh diletakkan pada poster pilihan raya," kata beliau dalam suatu kenyataan.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyifatkan tindakan SPR itu sebagai 'terdesak'.

""Ia langkah terdesak bagi melarang penggunaan gambar ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas bahan kempen PRU14.

"Jelas SPR telah bertindak melampaui tiga peranan dan tanggungjawab utama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ...," kata beliau dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga mereka merujuk kepada pengumuman Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengenai syarat-syarat tambahan yang berkaitan dengan penggunaan bahan kempen dalam PRU14.

Menurut Mohd Hashim, syarat tambahan itu bertujuan memastikan bahawa aktiviti kempen yang melibatkan parti-parti yang bertanding adalah aman dan lancar dan tidak mengelirukan pengundi, selaras dengan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikut adalah kenyataan SPR berhubung syarat-syarat tambahan penggunaan bahan kempen semasa tempoh berkempen bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14):

Permit bahan kempen

(a) Pemasangan bahan-bahan kempen mestilah mempunyai permit untuk mempamerkan bahan-bahan kempen kepada orang ramai dalam bahagian pilihan raya yang ditandinginya. Permit bahan kempen tersebut akan dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan di bawah Seksyen 24B (4), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Penggunaan gambar pemimpin utama parti politik

(b) Dihadkan kepada gambar 2 (dua) orang pemimpin utama parti politik iaitu Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) bagi parti politik yang bertanding (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

(c) Jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan.

(d) Bahan kempen tersebut boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua-dua pemimpin utama parti politik.

Gabungan gambar pemimpin utama parti politik di atas satu bahan kempen

(e) Gabungan gambar pemimpin utama parti politik di atas satu bahan kempen yang sama hanya dihadkan kepada Presiden (atau setaraf dengannya), Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya), Pengerusi Perhubungan Negeri Parti (atau setaraf dengannya), Menteri Besar/Ketua Menteri dan calon (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

(f) Jawatan selain daripada yang dinyatakan di perenggan (e) adalah tidak dibenarkan.

Penggunaan lambang/ simbol parti politik

(g) Calon-calon yang bertanding mewakili parti politik dan ingin mengguna pakai lambang/simbol parti politik diminta agar memastikan lambang/simbol parti politik itu berdaftar dengan SPR.

(h) Lambang/simbol parti politik bagi calon yang bertanding dan lambang/simbol parti komponen berdaftar sebagai gabungan/pakatan yang diwakili calon tersebut dibenarkan untuk dipamer secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya di mana calon tersebut bertanding.

Syarat-syarat sedia ada seperti mana yang telah ditetapkan sebelum ini dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 masih terpakai kecuali berkaitan syarat-syarat tambahan yang dinyatakan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS