PRU14 | Menteri Besar sementara Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membuat penampilan pertamanya malam tadi di Pasir Gudang selepas secara rasmi dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi parlimen itu, di samping mempertahankan kerusi DUN Permas.
Pencalonannya di dua kerusi tersebut, telah menimbulkan spekulasi beliau akan dipindahkan balik ke kerajaan persekutuan.
Pasir Gudang merupakan kerusi marginal di mana BN hanya berjaya mengekalkannya dengan 935 undi majoriti pada pilihan raya umum lepas. Manakala bagi kerusi DUN Permas, Khaled menang selesa dengan 5,752 undi majoriti.
Malam tadi, Khaled memilih untuk mengadakan perhimpunan pertamanya di kawasan dikuasai DAP di Johor Jaya dan bukannya di kawasannya di Permas. Parlimen Pasir Gudang mempunyai dua kerusi DUN - Johor Jaya dan Permas.
Sekitar 1,000 orang hadir memberi menyokong Khaled di dewan serbaguna Taman Johor Jaya, di mana Khaled mengakui bahawa Pakatan Harapan menyasarkan kerusi parlimen itu.
"Pembangkang fokus pada Pasir Gudang kerana ia kerusi marginal, tetapi kita akan buktikan mereka salah." katanya sambil menambah bahawa BN telah menang di Pasir Gudang tujuh kali berturut-turut.
Khaled Nordin mewakili kerusi Pasir Gudang selama dua penggal sejak 2004. Dia berpindah ke kerusi DUN Permas pada pilihan raya umum 2013 untuk mengambil alih jawatan menteri besar Johor.
Manakala penggantinya di Pasir Gudang, Normala Abdul Samad, hanya menang tipis dalam pilihan raya lima tahun lalu.

Sekiranya Khaled gagal menahan kemerosotan sokongan kepada BN di Pasir Gudang dan kalah kerusi itu, maka ia boleh melemahkan kedudukannya walaupun dia menang kerusi negeri Permas.
Ekoran khabar angin bahawa Khaled akan digantikan sebagai menteri besar Johor, dan ditambah pula jika dia gagal memenangi kerusi parlimen yang diperlukan untuk kembali ke Putrajaya, maka masa depan politik Khaled akan berada dalam keadaan tidak menentu.
Masih ada pilihan untuk menjadi menteri melalui pelantikan senator, tetapi akan berdepan risiko dilabel sebagai "menteri pintu belakang".
Jangkaan pertarungan sengit
Di majlis itu, Khaled menegaskan betapa pentingnya Pasir Gudang dalam pertarungan di Johor.
"Saya sebagai panglima BN Johor, mesti menangkan Johor dan kemenangan Johor mesti bermula dari Pasir Gudang," tegasnya.

Mengikut senarai pemilih yang berakhir pada 2017, kerusi campuran Pasir Gudang terdiri daripada 49 peratus pengundi Melayu, 37 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India.
Senarai pengundi di DUN Permas pula terdiri daripada 55 peratus Melayu, 27 peratus Cina dan 14 peratus India manakala Johor Jaya mempunyai 47 peratus pengundi Cina, 42 peratus pengundi Melayu dan tujuh peratus pengundi India.
