Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 l Menjelang tempoh kempen yang akan bermula Ahad ini, badan tinjauan bebas Merdeka Center meramalkan BN akan menang di Kelantan pada PRU ke-14.

Pengarah pogram Ibrahim Sufian menjangka BN mampu menamatkan pentadbiran Kelantan selama 28 tahun memandangkan tinjauan mutakhir menunjukkan 55 peratus pengundi Kelatan menyokong BN, berbanding 35 peratus untuk PAS dan 10 peratus untuk Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tambahan pula, sokongan Melayu terhadap BN di negeri Pantai Timur itu dianggarkan pada 54 peratus, kira-kira peningkatan 10 peratus sejak 2013.

"Kemungkinan besar PAS akan kalah di Kelantan. Walaupun mereka tidak akan kalah di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kami menganggarkan mereka akan mampu mengekalkan 10 hinga 20 kerusi, tetapi masalah yang dihadapi mereka adalah banyaknya kerusi marjinal.

"Situasi mereka (PAS) di Kelantan akan terjejas dengan ketiadaan kepimpinan berkarisma (seperti allayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat) yang sebelum ini berjaya...membawa pengundi luar untuk pulang mengundi dan menutup kekurangan perkhidmatan dengan kuasa personaliti.

"Parti itu sendiri berpecah kepada AMANAH, sejumlah pengundi akan memilih (parti itu)," katanya (gambar) dalam forum 'Malaysia GE14 Outlook: Perspectives and Outcomes'di Universiti of Nottingham Kuala Lumpur semalam.

HARAPAN perlu tokoh konservatif

Ibrahim berkata lagi, HARAPAN tidak meraih sokongan secukupnya daripada perpecahan daripada PAS, serta pengundi Melayu konservatif lain, disebabkan gabungan itu gagal menyentuh psikologi mereka dengan baik.

"Sementara HARAPAN membangkitkan isu ekonomi dan tadbir urus, unsur penting sekarang adalah Islam dan peranan kerohanian dalam masyarakat Melayu. Ini tidak dikendalikan dengan efektif.

"Akhirnya, ia (unsur agama dan konservatisme) menyentuh psikologi teras pengundi Muslim.

"HARAPAN perlu ada seorang jurucakap yang mampu menghubungkan mereka dengan masyarakat yang lebih konservatif...Mereka perlukan tokoh yang mampu berhubung dengan golongan ini, yang membawa isu (seperti ekonomi dan tadbir urus) tetapi dengan cara yang menarik dan difahami (demografi itu)," katanya lagi.

Pada masa sama, katanya lagi, parti serpihan PAS iaitu AMANAH belum cukup kukuh untuk mencetuskan peralihan undi konservatif secara signifikan.

"AMANAH parti baru dan kami tidak rasa ia cukup (mampu) untuk mencetuskan tsunami," kata Ibrahim.

Penyokong PAS mungkin undi HARAPAN

Namun penganalisis politik Wong Chin Huat berbeza pandangan. Beliau menjangka sebahagian besar penyokong teras PAS yang "antikerajaan" boleh mengubah sokongan kepada AMANAH.

"PAS mampu menewaskan parti-parti serpihannya sebelum ini...kerana parti itu menjadi boneka Umno. PAS mampu mendapatkan undi Melayu konservatif dan antikerajaan.

"Tetapi keadaan berbeza kerana AMANAH yang kini dilihat antiUmno sementara PAS mesra dengan Umno.

"Ini benar-benar menguji apakah sebenarnya asas sokongan PAS? Adakah pengundi konservatif dan antikerajaan? Jika asasnya adalah undi antikerajaan, PAS kini dalam masalah besar," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS