Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini cabar Akta Antiberita Palsu di mahkamah

Portal berita Malaysiakini hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keperlembagaan Akta Antiberita Palsu 2018 yang diluluskan baru-baru ini.

Portal itu adalah yang pertama memfailkan cabaran terhadap undang-undang kontroversi yang dikritik pengamal undang-undang dan juga kumpulan hak asasi manusia.

Malaysiakini melalui syarikatnya MKINI Dotcom Sdn Bhd menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia sebagai responden

Permohonan itu difailkan oleh firma undang-undang Daim dan Gamany di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Portal itu memohon perisytiharan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 adalah melanggar Perkara 5 dan Perkara 10 (1), yang dibaca bersama Perkara 8 dan oleh itu melanggar perlembagaan, dan harus diisytiharkan batal dan tidak sah.

Perkara 5 berkaitan kebebasan individu manakala Artikel 10 (1) merangkumi kebebasan bersuara.

Ia juga memohon perintah mandamus untuk memaksa mahkamah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri membatalkan undang-undang yang diwartakan bertarikh 11 April tahun ini yang menjadikan rang undang-undang itu sebagai undang-undang.

Malaysiakini juga mencari relief lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Ketua pegawai eksekutif dan pengarah MKINI Dotcom, Premesh Chandran, dalam afidavit sokongannya, berkata portal tersebut telah beroperasi sejak 20 Nov 1999 dan sejak itu ia juga mengendalikan Kinitv.com sebagai sebahagian daripada Kumpulan Mkini.

Premesh berkata undang-undang itu menghukum sesiapa saja yang mencipta, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengagih atau menyebarkan berita palsu secara berniat jahat.

Berita tidak benar di bawah akta itu ditakrifkan sebagai apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Premesh mendakwa portal itu menerbitkan artikel dengan cara reportage atau pelaporan dan oleh itu kesan undang-undang baru itu mengakibatkan portal berkenaan tidak dapat mempertahankan pelaporannya.

Beliau juga mendakwa akta itu meletakkan beban yang tidak dapat diatasi oleh portal itu untuk memastikan setiap artikel yang diterbitkan dengan cara pelaporan atau pendapat adalah benar dalam semua segi.

Oleh itu, beliau menambah ia memberi kesan kepada hak portal itu di bawah Perkara 10 (1) (a) berhubung kebebasan bersuara dan ekspresi.

Selain itu, Premesh mendakwa akta tersebut melanggar Perkara 5 (1) dan Perkara 10 (1) yang kedua-duanya dibaca bersama Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Ini berikutan ia melanggar hak yang dilindungi di bawah Perkara 5 dan melanggar Perkara 10 (1) (a) kerana tidak sesuai dengan kedaulatan undang-undang yang merupakan sebahagian daripada struktur asas perlembagaan.

Beliau seterusnya mengatakan akta itu tidak dapat difahami, tidak jelas dan tidak boleh diramal dan sebaliknya kabur dan sembarangan.

Premesh juga mendakwa akta tersebut tidak termasuk di bawah Perkara 10 (2) (a) dan oleh itu tidak mengikut perlembagaan, batal dan tidak sah.

"Oleh itu, tindakan responden menguatkuasakan akta ini adalah tidak munasabah dan menyalahgunakan kuasa kerana akta yang tidak mengikut perlembagaan," katanya.

Lihat Komen
ADS