Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Reda jika tak dapat jadi calon, nasihat Shahidan

PRU14 l Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menasihati mereka yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya redha dengan keputusan yang telah dibuat.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebolehan calon boleh menang di sesebuah kawasan.

“Ini merupakan cabaran yang saya arus hadapi, kita dah buat yang terbaik dan kita sokong calon ini kerana cukup layak. Tapi keputusan dah dibuat dan kita kena redha.

“Dia adalah calon yang cukup baik dan dia boleh kalahkan pembangkang dengan cukup hebat dan setelah keputusan dibuat kita terimalah dengan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Shahidan berkata demikian ketika ditanya tindakan sekumpulan ahli Wanita Umno Perlis bersemuka dengannya akibat tidak berpuas hati calon pilihan mereka tercicir dari senarai calon PRU14.

Video tular wanita Umno menangis

Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, wanita Umno turut menangis dan meminta Shahidan mencalonkan Azhar Hamid untuk bertanding di DUN Kuala Perlis yang menurut mereka sudah melakukan kerja sekian lama.

Sebelum itu, Shahidan mengumumkan calon-calon BN untuk bertanding di Perlis dan bagi DUN Kuala Perlis BN mencalonkan Datuk Azam Rashid.

Pada PRU13, BN mencalonkan Mat Hassan dan menang mengalahkan calon PKR Noor Amin Ahmad dengan majoriti 1,384.

Shahidan turut berkata sekiranya Azam menang pada PRU ini beliau akan dilantik sebagai speaker DUN bagi Perlis.

“Ini adalah semua setelah dianalisa oleh BN dan calon yang paling layak adalah Azam, memang cantik dan layak dan kena hadapi dengan baik, kita nak bagitahu jika (menang), Azam akan dicalonkan speaker DUN nanti,” katanya.

Sementara itu, Shahidan juga ketika ditanya mengenai pencalonannya di parlimen Arau meskipun mendapat sokongan untuk menjadi menteri besar Perlis berkata, beliau turut reda dengan perkara itu.

Katanya, buat masa ini beliau hanya mahu memfokuskan kempen dan akan bertanding sehingga mencapai kemenangan.

“Saya pun kena reda dan terima untuk menjadi menteri besar bukan perkara kecil. Tak ada masalah, yang penting saya bertanding PRU dan nak menang PRU.

“Sama ada orang suka atau tak suka itu nombor dua. Yang penting rakyat suka saya. Saya dah buat yang terbaik pada rakyat dan inilah masanya rakyat nak balas budi,” katanya.

Shahidan pernah menjadi menteri besar Perlis mulai 1995 hingga 2008 sebelum diletakkan sebagai calon untuk kerusi parlimen Arau pada PRU ke-12.

Perebutan Arau, dua nama besar

Perebutan kerusi Arau menjadi satu daripada tumpuan ramai dalam PRU berkenaan kerana ia mempertemukan dua nama besar dalam negara ini.

Shahidan dicabar bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kemudian dilantik menjadi mursyidul am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Di sebalik populariti Haron, Shahidan mengekalkan kerusi Arau di tangan BN dengan majoriti 1,371 undi.

Untuk rekod, baru-baru ini wujud sebuah akaun Facebook diberi nama 'Support Dato Seri Shahidan Kassim for Perlis Real MB' dipercayai untuk menyokongnya agar kembali menjadi menteri besar.

Laman sosial itu kini menerima like sebanyak 5,370 dan 5,381 orang yang mengikuti Facebook berkenaan.

Lihat Komen
ADS