Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dalam masa sebulan sahaja BN melakukan pelbagai cara untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dengan apa sahaja kaedah yang dianggap perlu - atau, dengan izin: “by any means necessary”.

Memang bagi Umno dan BN serta sekutunya, ia adalah mempergunakan isu kaum atau agama. Semuanya dalam bentuk matlamat menghalalkan cara. Malah, agama menjadi alat paling popular untuk mengekalkan kuasa.

Sekian lama perencanaan dibuat untuk mematikan saingan Pakatan Harapan (HARAPAN). Kini langkah terakhir BN benar-benar ditingkatkan darjah kepanasanya sejak ia bermula pada 28 Mac 2018.

Rentetan peristiwanya adalah seperti berikut:

28 Mac

Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan oleh parlimen yang bermajoritikan wakil-wakil BN. Ia membolehkan BN mendapat kelebihan apabila pengundi-pengundi Umno dibawa masuk ke banyak kawasan marginal Melayu, manakala pengundi Cina ditolak ke dalam kubu-kubu pembangkang.

Di kawasan tertentu, ini bererti HARAPAN boleh menang dengan majoriti lebih 50,000 undi, tetapi hanya mendapat satu kerusi itu sajalah. Di kawasan-kawasan BN yang kecil jumlah pengundi, dengan penambahan pengundi pro-BN, ia bakal mendapat dua kerusi atau lebih berbanding HARAPAN.

2 April

Pada sesi parlimen yang sama itu, Akta Antiberita Tidak Benar diluluskan. Undang-undang itu bertujuan mengawal fitnah dan berita palsu yang dianggap oleh pimpinan HARAPAN sebagai senjata untuk menekan mereka serta sesiapa sahaja yang berani mengkritik Najib Razak dan Umno-BN.

3 April

HARAPAN mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad digunakan dalam kempen PRU ke-14 atas alasan gabungan itu belum atau tidak akan didaftarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

5 April

Sejak Julai 2017, ROS enggan meluluskan permohonan HARAPAN untuk menjadi gabungan yang sah dengan perlembagaan, kepimpinan dan logo sendiri – sama taraf seperti BN.

Satu logo bersama amat penting untuk HARAPAN bertanding melawan BN atas dasar satu lawan satu.

Sebaliknya, pada 5 April ROS mengarahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - salah satu daripada empat parti komponen HARAPAN - supaya diububarkan.

7 April

Najib mengumumkan pembubaran parlimen untuk membolehkan PRU ke-14 diadakan pada 9 Mei, iaitu pada Rabu yang merupakan hari bekerja. Rakyat marah dan membantah keputusan SPR.10 April

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan pemerhati antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Maldives, Timor Leste, Azerbaijan, Kemboja dan Kyrgyzstan akan memantau PRU ke-14.

Menurut NGO reformasi pilihan raya, BERSIH, daripada tujuh negara itu, hanya Timor Leste berada di tangga lebih atas daripada Malaysia dalam senarai amalan demokrasi global.

Menurut laporan Malaysiakini pula, “The Economist menganggap Kemboja dan Azerbaijan sebagai rejim kuku besi manakala Freedom House merujuk Kyrgyzstan dan Azerbaijan sebagai rejim kuku besi yang disatukan."

11 April

Setelah didesak rakyat, Najib terpaksa mengumumkan 9 Mei sebagai cuti umum untuk membolehkan pemilih membuang undi.

20 April

Seramai 16 ahli Umno mengemukakan permohonan mahkamah untuk membatalkan keputusan ROS yang membenarkan parti itu melanjutkan masa bagi mengadakan pemilihan di semua peringkat.

Mereka juga mahu ROS membubarkan sementara Umno (seperti yang dilakukan terhadap BERSATU) berikutan dakwaan melanggar perlembagaan parti.

24 April

SPR mengeluarkan syarat-syarat tambahan yang bakal menyukarkan HARAPAN menjalankan kempen mereka. Antaranya - sekali lagi - mengharamkan penggunaan gambar Dr Mahathir secara bebas di seluruh negara.


Baca Pengundi Melayu semakin berani?


26 April

SPR melarang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjadi pemerhati pilihan raya. Suhakam adalah badan sah yang ditubuhkan oleh parlimen mengikut Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999.

Sebaliknya, SPR membenarkan persatuan-persatuan ini menjadi pemantau:

  • Majlis Belia Malaysia (MBM)
  • Persatuan Pengundi Wawasan Malaysia
  • Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
  • Persatuan OKB Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor;
  • Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak
  • Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (OUNA)
  • Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA)
  • Persatuan Melanau Sibu
  • Persatuan Cina Miri
  • Majlis Belia Sabah
  • Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah.

Apa yang sedang berlaku?

Semua sekatan dan halangan ini berbentuk institusi dan peraturan. Kawalan bentuk lain pula ialah amalan media arus perdana yang berkempen terang-terangan menyebelahi BN, selain agensi serta syarikat kerajaan membantu kempen BN, juga tekanan terhadap kakitangan awam yang mahu menyokong HARAPAN.

Di peringkat akar umbi, kain rentang fitnah dipasang untuk menimbulkan ketegangan kaum, poster dan risalah pembohongan terhadap HARAPAN disebarkan, manakala perbuatan merosakkan termasuk merobohkan papan tanda pembangkang terus berlaku di beberapa negeri.

Dalam keadaan yang tidak adil, berat sebelah dan penuh tekanan terhadap HARAPAN ini, memang mengejutkan jika BN gagal mengekalkan kuasanya sejak Malaya merdeka.

Namun, dengar ceritanya suara-suara marah rakyat di kampung, di parit-parit, di wilayah-wilayah Felda semakin kuat kedengaran. Kita hanya menanti kelantangan itu diterjemahkan kepada undi.

Lihat Komen
ADS