Menteri: Tindakan terhadap mereka yang akibatkan Bank Islam rugi besar
Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyifatkan kerugian yang dicatatkan oleh Bank Islam sebagai sesuatu yang agak menghampakan dan berkata tindakan harus diambil terhadap sesiapa yang terlibat di dalam kerugian yang agak besar itu.
Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyifatkan kerugian yang dicatatkan oleh Bank Islam sebagai sesuatu yang agak menghampakan dan berkata tindakan harus diambil terhadap sesiapa yang terlibat di dalam kerugian yang agak besar itu.
Menurutnya, perkara tersebut (kerugian RM774 juta) tidak melibatkan konsep perbankan Islam itu sendiri tetapi melibatkan beberapa pegawai yang telah menjalankan tugas dengan cuai.
"Kita difahamkan bahawa kerugian adalah disebabkan pinjaman kepada pihak yang tidak semestinya," kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada isu kerugian Bank Islam yang ditimbulkan oleh beberapa ahli Parlimen ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2006 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Oleh kerana beberapa pegawai telah menjalankan tugas dengan cuai, katanya pihak-pihak berkuasa yang berkenaan telah diberitahu bahawa perkara tersebut harus diberi perhatian yang serius.
"Kenyataan tentang Bank Islam Malaysia mengalami kerugian adalah sesuatu yang menghampakan kita semua. Memang Bank Islam dikawalselia oleh Bank Negara dan Audit harus tahu perkara ini lebih awal," katanya.
Dapat lebih modal
Menurut laporan Bernama, Nor Mohamed berkata, perbankan Islam di Malaysia telahpun mencapai banyak kejayaan dan oleh kerana itu, semua pihak tidak harus bersikap berpuas hati dan beriktiar untuk memperkembangkannya.
Lebih-lebih lagi, difahamkan bahawa Singapura akan memulakan perbankan Islam dan ini memerlukan pihak-pihak di Malaysia untuk bekerja dengan lebih kuat lagi, katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan akan membantu Bank Islam dalam mendapatkan modal yang lebih.
Mengenai ura-ura pengambil-alihan Bank Islam oleh Malayan Banking, beliau berkata, tiada cadangan sedemikian dan ianya tidak harus diberi pertimbangan.
Menurut Menteri Kewangan Kedua isu tersebut tidak timbul kerana Maybank adalah bank konvensional sementara Bank Islam berasaskan pada akta yang lain.
Mengenai jualan singkat yang ditimbulkan, Nor Mohamed berkata kerajaan tidak bercadang untuk meluluskannya untuk dagangan di Bursa Malaysia.
'Manipulator'
Walaupun jualan singkat adalah suatu kaedah untuk menambah kecairan pasaran, tetapi beliau berkata, pasaran saham belum begitu matang untuk menerima kaedah ini dan risikonya adalah tinggi kerana akan mendedahkan pasaran kepada "manipulator".
Sementara itu, ketika penggulungan tersebut, Datuk Mohamed Said Yusof (BN-Jasin) yang mencelah talah menimbulkan isu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersaing dengan perniagaan Bumiputera sambil merujuk kepada kes Kulim Bhd dan QSR Brands Bhd.
Mohamed Said menyatakan Kulim adalah GLC tetapi kenyataannya diperbetulkan oleh Menteri Kewangan Kedua bahawa Kulim bukan GLC walaupun pemegang saham terbesarnya adalah kerajaan negeri.
Menurut Nor Mohamed, mengikut perlembagaan, kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal syarikat milik kerajaan negeri.
Mengenai peranan yang dimainkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam isu membabitkan Kulim dan QSR, beliau berkata, SC adalah telus dalam semua hal dan oleh itu suruhanjaya tersebut sanggup ke mahkamah untuk menyokong apa tindakannya.

