Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

CALONKINI | Dalam lingkaran politik Johor, wujud mitos tentang penerus legasi allayarham Tun Sardon Jubir yang ditakdirkan berjaya dalam politik.

Berasal dari Batu Pahat, Sardon merupakan pemimpin Umno yang mendaki tangga politik dan kemudiannya menjadi menteri. Beliau meninggal pada 1985, maka barangkali ramai yang tidak pernah mendengar namanya.

Tetapi pastinya ramai yang kenal bekas setiausaha politiknya iaitu Tun Musa Hitam, yang kemudiannya menjadi timbalan perdana menteri.

Bekas setiausaha politik Musa sendiri iaitu Tan Sri Shahrir Samad juga menjadi pemimpin politik ternama, menjadi menteri kepada empat perdana menteri.

Menteri Besar sementara Johor Datuk Seri Khaled Nordin sendiri pernah menjadi setiausaha politik Shahrir.

Maka tidak hairan apabila mereka yang percaya dengan legenda ini kini mengalihkan pandangan kepada anak didik Khaled pula.

Salah seorangnya Mohammad Khairi A Malik yang berkhidmat dengan Khaled selama 14 tahun dan membuat penampilan pertama pada PRU ke-14 di DUN Kota Iskandar (dahulunya dengan nama Nusa Jaya).

"Saya tidak kisah (menunggu). Saya sabar dalam politik. Saya mahu membantu orang, ini kepuasan saya dalam politik," kata lelaki berusia 52 tahun itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Khairi (gambar) dilihat sebagai generasi lima anak didik Sardon.

Perjalanannya dengan Khaled bermula pada 1998, apabila beliau tewas dalam pemilihan ketua pemuda Umno Gelang Patah hanya dengan dua undi.

Khaled bagaimanapun melihat sesuatu dalam dirinya dan memasukkannya dalam Majlis Belia Negeri Johor. Ketika Tun Abdullah Badawi mengangkat Khaled sebagai menteri pada 2004, Khaled melantiknya sebagai setiausaha politik.

'Umno akan dapat undi Melayu'

Selepas lebih sedekad, pencalonan graduan ekonomi itu adalah sesuatu yang alami. Apatah lagi beliau memang berasal dari Gelang Patah.

Kota Iskandar dan Skudai merupakan DUN dalam Parlimen Gelang Patah, atau nama barunya Iskandar Puteri.

Kawasan Parlimen itu merangkumi bandar raya Johor Bahru dan satu daripada enam parlimen dalam Johor Bahru raya.

Khairi menggalas tugas sukar membantu BN menewaskan tokoh veteran DAP Lim Kit Siang, penyandang kerusi Parlimen Iskandar Puteri.

"Umno akan mendapatkan undi Melayu untuk Jason," katanya merujuk calon BN bagi Iskandar Puteri, Datuk Jason Teoh (gambar).

"Kami boleh bantu Jason tetapi beliau juga perlu mendapatkan undi Cina. Jika beliau boleh dapat antara 30 hingga 40 peratus, kami yakin kami akan menang.

"Jason membayangkan beliau boleh dapat 35 peratus (undi Cina), maka kami boleh menang," katanya lagi.

Pada PRU lalu, Lim menang dengan majoriti 14,762 undi. Sebahagian undi itu daripada DUN Skudai yang dimenangi Boo Cheng Hau dengan majoriti 18,050 undi.

Boo bagaimanapun memberontak terhadap DAP selepas tidak lagi menjadi calon di kerusi itu.

DUN Kota Iskandar pula dimenangi BN dengan majoriti 2,201 undi. Ia dikira kecil jika mengambil kira jumlah undi iaitu 44,131.

Khairi bagaimanapun yakin akan menang di kerusi itu dan seterusnya memenangkan BN di peringkat Parlimen.

"Adakah Lim membawa isu Gelang Patah di Parlimen sepanjang lima tahun ini? Tiada.

"Beliau tak kenal pun kawasan ini, mengapa mahu jadi MP kami?" katanya.

Akar tempatan

Khairi menekankan akar tempatan yang dimiliki dirinya dan Teoh dan berkata masyarakat tempatan akan menerima manfaat besar dengan kemenangan mereka.

Malah sebelum pencalonnya, katanya lagi, beliau telah membantu masyarakat tempatan misalnya menyumbangkan ketuhar dan periuk nasi kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan kecil.

Beliau yakin 'tsunami Melayu' tidak akan berlaku namun mengakui faktor pengundi yang bekerja di Singapura kekal sebagai kebimbangan utama BN di negeri itu.

Johor selatan mengalami perubahan demografi pesat ekoran penghijrahan warga negeri ke kawasan itu. Mereka biasanya berkerja di Singapura kerana gaji yang lebih tinggi.

Khairi percaya faktor itu boleh ditangani.

"Momentum (terhadap pembangkang) tidak sekuat PRU lalu. Ia lebih perlahan dan kurang agresif."

Jika menang di Kota Iskandar, beliau berjanji akan menggunakan pengaruhnya untuk membawa masuk syarikat-syarikat besar ke kawasan itu bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, selain jalan alternatif ke link kedua Kota Iskandar untuk mengurangkan kesesakan.

Beliau juga berjanji untuk menjaga penduduk di pedalaman dengan pelbagai insentif kepada nelayan dan golongan miskin.


CALONKINI memperkenalkan muka baru daripada pelbagai parti politik yang berpotensi menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14.

Wawancara ini bukan tanda sokongan daripada Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS