Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Faiz bawa legasi Fadzil Noor dalam AMANAH
Diterbitkan:  Apr 29, 2018 12:12 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

WAWANCARA | Pada tahun 2002, PAS kehilangan Datuk Fadzil Noor, seorang pemimpin paling berpengaruh yang memimpin parti Islam itu selama 13 tahun.

The New York Times pada masa itu menggambarkan Fadzil sebagai individu sederhana apabila mengingatkan pemimpin beraliran keras agar tidak memaksakan undang-undang Islam di negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Faiz Fadzil berharap dapat meneruskan kesederhanaan bapanya dengan pencalonannya di kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Permatang Pasir - meskipun di bawah bendera parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lulusan Universiti Islam Antarabangsa yang berumur 41 tahun dan memiliki firma undang-undangnya sendiri itu berharap para pengundi dapat menerimanya sebagai wakil mereka, walaupun beliau dilahirkan di Kedah.

"Saya berada di Permatang Pasir selama hampir dua tahun dan mempunyai rumah di sini. Walaupun berasal dari Kedah, bukanlah tidak biasa bagi orang Kedah untuk bertanding di sini," katanya.

Permatang Pasir terletak di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat pada 1998.

Sejak itu kerusi berkenaan ditawan PAS, yang kemudian menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang - Pakatan Rakyat.

Walaupun Faiz pernah menjadi anggota PAS, beliau menyertai AMANAH pada tahun 2015 dan kini memegang jawatan sebagai timbalan ketua pemuda parti berkenaan.

Dibayangi bapa

Faiz menyertai senarai panjang ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-14, terutamanya Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Nurul Izzah Anwar dari PKR, Mujahid Yusof Rawa dari AMANAH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari BERSATU, serta Lim Guan Eng dan Gobind Singh Deo dari DAP.

Kebanyakan mereka bersama keluarga dalam soal memilih perjuangan politik, berbeza dengan Faiz dan beberapa yang lain.

Walaupun pernah mengatakan bapanya akan menyokong AMANAH sekiranya masih hidup, Faiz berkata dirinya masih perlu mendapat restu ibunya sebelum bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau mengakui bayang-bayang bapanya cukup besar, tetapi menegaskan allahyarham sering mengingatkan anak-anaknya agar memilih jalan hidup mereka sendiri.

"Politik ada dalam darah semua orang, tetapi mempunyai ibu bapa yang terlibat dalam politik seperti ayah saya juga membantu, kerana kita berkongsi pengalaman ibu bapa kita.

"Saya tahu saya tidak dapat melarikan diri dari bayangan atau legasi ayah saya, tetapi pada masa yang sama dia mengingatkan kita semua untuk melakukan kerja sendiri, dan sentiasa berdiri atas kaki sendiri," katanya.

Bawa perubahan

Satu perbezaan yang sangat ketara dalam pilihan raya ini adalah musuh politik bapanya semasa memimpin Barisan Alternatif pada tahun 1999, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini mengetuai pembangkang sendiri.

Menurut Faiz, beliau menerima Mahathir dan parti yang dipengerusikannya, BERSATU sebagai sekutu dalam HARAPAN bagi mengalahkan perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak dan membawa pembaharuan.

"Salah jika kita menolak Mahathir jika beliau mahu bersama kita, kerana beliau menentang pemimpin negara yang rakus dan perjuangan semacam itu tidak boleh dilakukan sendirian.

"Ini juga menunjukkan bahawa pemimpin AMANAH seperti Mohamad Sabu bersikap bijak dalam menerima Mahathir, dan menunjukkan parti itu tidak bertindak atas kepentingan sendiri, tetapi kepentingan negara pada umumnya," katanya.

Sebagai timbalan ketua pemuda AMANAH, Faiz yakin golongan muda akan memberikan sokongan mereka kepada HARAPAN kerana mereka paling terjejas teruk akibat dasar pentadbiran Najib, terutamanya GST dan kenaikan kos sara hidup.

"Ini memberi persepsi bahawa kerajaan sekarang ini yang diketuai oleh Najib gagal mentadbir negara dengan betul. Lebih teruk lagi dengan rasuah, pembaziran, skandal 1MDB, Jho Low, dan kecurian yang dilakukan oleh perdana menteri sendiri," tegasnya.

Faiz, bersama pemimpin muda HARAPAN yang lain, juga membentuk kumpulan Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) yang memfailkan saman terhadap Najib dan 1MDB berhubung pembayaran yang dibuat firma pelaburan negara itu kepada Petroleum Investment Corporation (IPIC).

Saman itu salah satu daripada sejumlah saman yang difailkan tokoh pembangkang berhubung 1MDB, termasuk saman oleh Tony Pua dan Zaid Ibrahim yang kemudian ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Faiz percaya golongan muda di Malaysia menyedari kesalahan yang didakwa dilakukan Najib dan keperluan untuk melakukan perubahan kerajaan.

"Golongan muda mempunyai persepsi negatif terhadap BN, saya yakin mereka memahami apa yang sedang berlaku di negara kita, dan bersedia membuat perubahan," katanya.

[Baca wawancara penuh]

Lihat Komen
ADS