PRU14 | Rupa-rupanya dalam diam pakar motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, sudah menganggotai Umno sejak lama dulu.
Untuk lebih tepat dia menyertai parti Melayu berkenaan sejak kira-kira 30 tahun silam. Cuma Tengku Asmadi tidak menguar-uarkannya kepada umum.
Kali ini bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia itu memulakan fasa baru dalam hidupnya. Dia menerima 'lamaran' Umno untuk mewakili BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Untuk rekod ini adalah kali pertama Tengku Asmadi menyertai pilihan raya.
Diletakkan sebagai pencabar kepada kerusi parlimen Kuala Nerus, Tengku Asmadi berkata kepercayaan yang diberikan BN adalah penghargaan buat dirinya.
Kata Tengku Asmadi, dia berasa terharu kerana dipilih menjadi calon walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.
“Saya dah 30 tahun (jadi) ahli Umno, bukan baru," katanya kepada Malaysiakini semalam.
Fokus pembangunan insan
Menurut Tengku Asmadi, 53, dia menyertai parti berkenaan sejak berusia 22 tahun. Justeru katanya, dia bukanlah orang yang baru di Kuala Nerus.
Menceritakan perasaannya terpilih menjadi calon dalam misi BN Terengganu merampas kerusi Kuala Nerus daripada pembangkang Tengku Asmadi berkata, apa yang dilakukan pimpinan parti adalah satu penghargaan.
Katanya ia juga membuktikan sikap terbuka Umno serta BN kerana menghargai potensi dan kebolehan yang ada pada seseorang ahlinya walaupun tidak memegang sebarang jawatan di peringkat bahagian.
Kuala Nerus ialah kawasan yang terletak kira-kira 10km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Di daerah itu juga terletaknya kawasan perindustrian Gong Badak.
Berdasarkan data semasa, kawasan parlimen Kuala Nerus mempunyai 83,663 pengundi dengan 99 peratus adalah Melayu, manakala bakinya Cina.
Pada PRU ke-13 lima tahun lalu kerusi itu dirampas daripada BN melalui calon PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang mengalahkan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.
Khairuddin dapat menawan Kuala Nerus dengan majoriti hanya 610 undi.
Pada PRU ke-14 ini Tengku Asmadi akan berdepan dengan dua lawan lain, iaitu Khairuddin yang dikekalkan PAS di situ, serta calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Abdullah Mohamed.
Ditanya sama ada kemahirannya sebagai pakar motivasi dapat memberi kelebihan, Tengku Asmadi berkata, sudah pasti faktor itu akan dimanfaatkan untuk menarik sokongan pengundi.
“Sebab fokus kita ialah mahukan bangsa yang berjaya serta seimbang dari segi pembangunan fizikal dan insan.
“Pembangunan fizikal dah rancak, jadi sekarang ini saya akan fokus kepada pembangunan insan dan itu kelebihan yang saya ada dan insya-Allah saya akan salurkan,” katanya.
Tumpu pengundi atas pagar
Ditanya apakah pandangannya terhadap Khairuddin, Tengku Asmadi berkata bendahari Dewan Ulama PAS Pusat itu merupakan lawan yang setanding.
“Saya rasa tak ada masalah. Dia seorang yang berilmu dan juga ada PhD, maka pada saya dia lawan yang setanding,” katanya.
Tengku Asmadi anak kelahiran kampung Seberang Takir berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan sumber mineral dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Semasa bertugas di salah sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu Tengku Asmadi terlibat dalam penemuan emas di Rusila pada 1989.
Dia kemudian melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan perlombongan dari University of Queensland di Brisbane, Australia. Dia menamatkan pengajian di situ pada 1994.

Pada 1994 dan 1995 Tengku Asmadi berkhidmat sebagai pensyarah di USM di Tronoh, Perak.
Tengku Asmadi kemudian meletakkan jawatannya sebagai pensyarah dan memulakan syarikat latihannya sendiri iaitu MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd.
Dia ialah pengasas kepada kursus motivasi alihan pelajar yang melahirkan lebih 100,000 lepasan dan menjalankan kursus hampir setiap minggu hingga kini.
Mengulas kemungkinan pengikutnya akan menjauh ekoran tindakannya aktif berparti, ini jawab Tengku Asmadi:
“Saya tak nampak mereka akan menjauh sebab sesiapa yang menjauh ini merupakan orang yang memang sudah membuat keputusan untuk menyokong pihak lawan.
"Orang atas pagar ialah orang yang memerhati dan dia akan membuat keputusan berdasarkan apa yang kita nak lakukan."
Baca PAS: Kenderaan baik, laju antara sumber bahagia manusia
Selain itu, mengulas sama ada calon dengan latar belakang agama mempunyai kelebihan di hati pengundi di Kuala Nerus dan Terengganu atau tidak, Tengku Asmadi yakin dia dapat menarik lebih ramai pengundi.
Hal itu kerana, katanya, BN juga melaksanakan dasar membangun dengan Islam.
“Kalau kita lihat 61 tahun BN memerintah, siapa boleh menidakkan Islam berkembang?
“Di Malaysia, masjid-masjid naik, sekolah tahfiz naik, MRSM Ulul Albab naik, kita ada Bank Islam, insurans Islam dan segala mak nenek Islam kita ada.
“Jadi, siapa boleh menidakkan bahawa Islam tidak berkembang?
“Kita (BN) telah melakukan segala-galanya dan kita ambil berat terhadap tentang Islam.
“Jadi, kita perlukan BN supaya mampu menjadikan Kuala Nerus seimbang dari segi kedua-duanya,” katanya.
