PRU14 | Setelah selesai proses penamaan calon semalam, bermulalah kempen secara rasmi bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor .
Gabungan parti pembangkang itu menganjurkan tiga ceramah di Johor Bahru pada malam yang sama - satu di kawasan majoriti Melayu dan dua lagi di kawasan majoriti Cina.
Di ibu negeri Johor itu, HARAPAN mensasarkan kerusi Parlimen Pulai, Pasir Gudang, Tebrau dan Johor Bahru.
Pada ceramah pertama, pemimpin HARAPAN berucap di atas sebuah lori yang diubahsuai sebagai pentas dengan menampilkan Pengerusi PKR Johor Hassan Karim, calon HARAPAN Johor Bahru Akmal Nasir, calon kerusi DUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad dan calon kerusi DUN Stulang, Andrew Chen.
Kedua-dua kerusi DUN Larkin dan Stulang berada dalam kawasan parlimen Johor Bahru. Meskipun tanpa ketiadaan nama besar yang hadir, Akmal berkata sambutan kira-kira 400 penduduk adalah memuaskan.
"Kami mengadakan ceramah di sini untuk kali pertama minggu lalu, yang menampilkan (naib presiden PKR) Rafizi Ramli. Kira-kira 1,000 orang hadir," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau berkata, ceramah yang diadakan mendapat sambutan yang baik memandangkan ia hanya diumumkan sehari sebelumnya.
'Shahrir akan tetap menang'
Di atas pentas, Akmal menghabiskan 10 minit pertama ucapannya bagi memperkenalkan diri dan meminta pengundi memberi peluang kepadanya untuk mewakili mereka di Parlimen.

Pengundi yang ditemui Malaysiakini pada ceramah itu bagaimanapun, tidak kelihatan terlalu yakin terhadap Akmal.
Daripada tujuh yang ditemui, kebanyakan mendapati Akmal perlu mengasah kemahiran berpidato sekiranya mahu memujuk penduduk Johor Bahru agar mengundi beliau.
Kesemuanya bersetuju beliau boleh mengurangkan 10,134 undi majoriti yang diperoleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada pilihan raya umum lepas, tetapi tidak akan mampu mengalahkan anggota parlimen sementara BN itu.
Seorang lagi pengundi, Zaki yang datang dari masjid berdekatan untuk mendengar ucapan Akmal berpendapat BN mungkin mengekalkan kerusi Johor Bahru kerana gaya mereka yang lebih agresif.
"Saya fikir BN masih boleh menang di Johor Bahru, kerana mereka lebih agresif.
"Tapi pada masa yang sama, HARAPAN akan dapat lebih banyak undi tetapi tidak akan menang, " kata lelaki berkopiah yang berusia 57 tahun itu kepada Malaysiakini.
Seorang lagi yang ditemui Malaysiakini berkata, kemahiran Akmal menyampaikan ceramah masih tidak setanding dengan Shahrir.
"Jangan lupa, Shahrir seorang yang humble dan popular. Akmal tak dapat menguasai pentas. Saya fikir dia boleh mengurangkan majoriti Shahrir kerana sentimen antikerajaan," katanya yang enggan namanya didedahkan.
Ceramah itu berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM700.
Majoriti yang diperoleh Shahrir pada 2013 adalah yang tertinggi dari enam kerusi parlimen di Johor.
Sementara itu, dua lagi ceramah HARAPAN menerima maklum balas yang lebih positif.
Ceramah di Taman Daya, yang terletak di kawasan Parlimen Tebrau, turut menarik kehadirian kira-kira 400 orang namun hanya berjaya mengumpul kutipan RM3,430.
Satu lagi ceramah juga diadakan di Taman Ungku Tun Aminah di parlimen Iskandar Puteri (dahulunya Gelang Patah) di mana pemimpin DAP Lim Kit Siang bertanding di kerusi itu.
Ceramah berkenaan dihadiri kira-kira 4,000 dan berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM13,032.
