Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tokoh jahil punca kafir-mengkafir, PAS hadir redakan
Diterbitkan:  Apr 29, 2018 5:32 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

PRU14 | Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mendakwa amalan kafir-mengkafir yang pernah melanda sebahagian umat Islam di negara ini suatu ketika dulu tercetus kerapa adanya "pemimpin Melayu" yang sangat jahil.

Kata presiden PAS itu, tokoh terbabit tidak mempunyai ilmu dalam Islam dan mengibaratkan individu terbabit seperti monyet merosakkan bunga.

Beliau kemudian menambah, pemimpin berkenaan tidak mempunyai roh seni pada dirinya.

Namun kata calon PAS untuk kerusi parlimen Marang itu, PAS berjaya menenangkan fitnah berkenaan dan kini didakwanya sudah lenyap.

"Apabila tercetusnya fitnah kafir-mengkafir kerana adanya pemimpin Melayu yang sangat jahil menghina hukum Islam seperti hukum hudud dan lain-lain kerana sangat jahil agamanya, sehingga laksana monyet yang mengoyak bunga yang cantik kerana tidak ada roh seni dalam dirinya.

"Maka PAS berjaya menenangkan api fitnah itu dengan memperkenalkan batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui oleh umat Islam, sehingga kini dapat dilenyapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi tidak menyebut sebarang nama secara khusus dalam kenyataan itu namun dipercayai merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ucapan di Banggol Peradong

PAS menyertai PRU ke-14 kali ini tetap sebagai pembangkang namun pada masa sama parti itu giat menyerang HARAPAN yang dianggotai empat parti lain.

PAS pula membawa Gagasan Sejahtera dan meletakkan calon di hampir 160 kerusi parlimen. Namun parti itu dikritik sesetengah pihak kerana bersikap lebih lunak kepada BN dan pada masa sama mewujudkan pertandingan tiga penjuru di kerusi yang mempunyai pengundi Melayu kritikal.

Parti itu tidak meletakkan calon di beberapa kerusi lain yang dianggap penting, seperti Pengerang dan Sembrong. Kedua-dua kerusi itu diwakili masing-masing Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kedua-dua mereka ialah pemimpin kanan Umno dan menteri dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak.

Amalan kafir-mengkafir dikesan berlaku selepas Abdul Hadi membuat ucapan ikonik di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981. Ia kemudian dikenali sebagai Amanat Haji Hadi.

Dr Mahathir pula pernah dikritik kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak selaras dengan syariat Islam. Antaranya beliau mendakwa hukuman rejam ke atas pesalah zina adalah primitif.

Kenyataan itu dibuat bekas perdana menteri terbabit pada Mac 1994.

Dr Mahathir juga pernah menyarankan al-Quran ditafsir semula untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Mahir langkah Mahathir, Anwar

Dalam satu temu bual pada Ogos 1991 pula Dr Mahathir berkata pelaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam mundur kerana tidak dapat bersaing dengan orang bukan Islam apabila tangan mereka (yang disabitkan kesalahan mengikut hudud) kudung.

Namun untuk rekod seorang lagi perdana menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pernah dipetik sebagai berkata negara akan huru-hara jika undang-undang Islam dilaksanakan.

Najib juga pada 20 April 1992 pernah dilaporkan mengingatkan kerajaan Kelantan, mereka harus bertanggungjawab jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik dan perpecahan di kalangan umat Islam jika hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.


Baca Hadi bidas Dr M: Saya sarjana politik Islam


Abdul Hadi juga berkata pemimpin yang dimaksudkannya itu juga pernah menumpang populariti PAS selepas dia dibuang Umno.

Pada masa sama Abdul Hadi menegaskan PAS sudah mahir dengan politik dimainkan Dr Mahathir serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru katanya tidak perlu mana-mana pihak mengajar parti itu mengenai selok-belok politik.

"Maka yang mengetahui semua senario tersebut (memahami)bahawa (mengajar) PAS berpolitik laksana mengajar itik berenang di air," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS