Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 | Dianggap jarang-jarang membuat kemunculan berprofil tinggi, Hashim Jasin bukan sembarangan orang.

Veteran PAS itu memang kaya pengalaman kerana sudah menganggotai parti berkenaan sejak puluhan tahun silam.

Beliau pernah diberi tanggungjawab yang pelbagai, dan pernah juga menjadi wakil rakyat, termasuk membuat kejutan menggembirakan penyokong PAS apabila memenangi pilihan raya kecil Arau pada 1998.

Ketika itu Hashim menewaskan calon BN, Datuk Ismail Kassim dengan majoriti seba­nyak 1,323 undi.

Kali ini - selepas 20 tahun - Hashim bakal mencuba nasib sekali lagi di kerusi sama. Lawannya pula ialah abang Ismail itu sendiri dan cukup terkenal di negara ini, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Merendah diri Hashim yang kini menjadi mursyidul am PAS menganggap pertembungan beliau dengan Shahidan ibarat jutawan dicabar individu yang tidak mempunyai apa-apa harta.

“Kali ini saya sedar, saya berlawan dengan orang kaya. Biarlah dia buat cara dia, saya akan buat cara saya.

"Harta saya air liur saja. Itu yang boleh diberi pada rakyat," katanya kepada Malaysiakini.

Hulur, hulur, hulur

Selain Hashim dan Shahidan, turut bertanding di Arau ialah bekas profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Rahman Daud mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN).

Selain pilihan raya kecil, Hashim sudah enam kali bertanding dalam PRU.

Menganggap penyertaan dalam pilihan raya sebagai menyahut seruan jihad memperjuangkan Islam beliau berkata semua orang kenal kemampuan Shahidan.

Pada masa sama, katanya, walaupun berbeza fahaman politik mereka tetap mesra dan berkawan baik.

"Dari sudut kewangan, maka saya surrender (mengalah). Saya tak mampu buat macam dia buat. Dia, ke mana dia pergi dia hulur, hulur, hulur. Saya tak boleh buat begitu,” katanya.

Mengenai peluang mengetepikan bekas menteri besar Perlis itu, Hashim berkata ia adalah isu lain dan rekodnya menyertai persaingan pilihan raya adalah penjelasan untuk pertanyaan berkenaan.

“Soal kalah menang itu bukan ukuran, sebab kita berpegang kepada keyakinan bahawa penyertaan kita dalam jihad politik ni adalah kejayaan (di sisi Tuhan).

"Walaupun hasilnya kita kalah (dalam pilihan raya), kita tetap berjaya,” katanya.

Tiga tokoh beri inspirasi

Kali terakhir Hashim bertanding dalam pilihan raya adalah pada 2008 iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan berjaya menewaskan calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Parlimen Arau merupakan kawasan tradisi di Perlis yang sentiasa menjadi tumpuan. Sebelum ini ia ditandingi Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang bertanding di kerusi tersebut pada 2004, 2008 dan PRU ke-13 lalu.

Hashim ditemui Malaysiakini selepas memberi kuliah Maghrib di surau asy-Syakur di Permatang Pauh Bongor. Program keilmuan itu turut dihadiri kira-kira 50 orang penduduk kampung.

Dalam kuliahnya Hashim, 78, mengakui sudah berusia namun tetap menggunakan tenaga yang ada untuk PAS. Hal itu, katanya, turut disumbangkan oleh faktor pembabitan Tun Dr Mahathir dalam PRU ke-14 ini.

“Saya berumur 78, ada kata dah tua, tak payah bertanding.

"Apa yang menyebabkan saya terima tawaran untuk bertanding lagi ialah sebab ada orang lebih tua daripada saya juga bertanding.

"Kalau dia tua takkan saya yang ada sikit tenaga nak berhenti begitu saja,” katanya merujuk kepada pengerusi HARAPAN yang bertanding di Langkawi.

Bekas pensyarah itu turut berkongsi pengakuannya kepada jemaah mengenai tiga pemimpin PAS yang menjadi umber inspirasi beliau dalam politik.

Mereka ialah Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, Haron dan Burhanuddin al-Helmy.

“Allahyarham Nik Aziz dia sakit prostat, dia kilik (bawa) beg air kencing termasuk ketika mempengerusikan mesyuarat terakhir dia di Putik (Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan) di Kota Bharu.

"Sebulan selepas tu dia meninggal. Maknanya, selagi dia boleh bergerak, berdiri, dia akan teruskan perjuangan," kata Hashim.

Sama juga halnya dengan Allahyarham Haron. Kata Hashim bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu mempengerusikan mesyuarat ketika kesihatannya sangat terganggu.

“Dia sertai mesyuarat di Jalan Raja Laut (ibu pejabat PAS) dalam keadaan wayar dah masuk hidung, ada tong oksigen dan dia mempengerusikan mesyuarat.

"Selepas sebulan dia meninggal," katanya.

Mengenai Burhanuddin, Hashim berkata beliau menemui Yang Dipertua PAS itu seminggu sebelum tokoh terbabit menghembus nafas terakhir.

"Saya pergi ziarah dia di Taiping. Dia dah terbaring atas katil, suara dia tak kuat (tapi) masih nak dengar berita 13 Mei di radio.

"Dia pesan pada saya - teruskan perjuangan Islam, kalau dah terlentang (uzur) tak boleh buat apa.

"Dalam tak sedar air mata saya menitis,” katanya.

Lihat Komen
ADS