Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada etika berpakaian, dakwaan mesej tular palsu, kata SPR
Diterbitkan:  Apr 30, 2018 7:54 PM
Dikemaskini: 11:59 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan mesej tular mengenai etika berpakaian seperti kehadiran ke pejabat ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Mengikut mesej dalam bahasa Cina yang kemudiannya menjadi tular di Facebook, para pengundi dinasihatkan agar tidak memakai seluar jeans yang koyak, selipar, seluar pendek atau miniskirt ke pusat pengundian atau berrisiko dihalang mengundi.

Sambil menafikan mesej berkenaan dan melabelkannya sebagai palsu, SPR kata Mohd Hashim (foto, atas) tidak pernah dan tidak akan menghalang seseorang pengundi dari memasuki tempat mengundi asalkan ia tidak menyalahi Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Akta tersebut memperuntukkan bahawa seseorang pengundi adalah dilarang sama sekali memasuki tempat mengundi sekiranya mereka memakai apa-apa pakaian dan peralatan yang memaparkan nama calon, simbol atau lambang parti politik pada hari mengundi.

“SPR menasihati orang ramai agar berhati-hati dan menapis maklumat yang tidak sahih berkaitan pilihan raya yang tersebar melalui media sosial,” katanya.

Beliau meminta orang ramai merujuk terus kepada SPR bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat dengan menghubungi talian 03-88927018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS