Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS anggap kemenangan moral dalam kes saman Sarawak Report

PAS menyifatkan parti itu memperoleh kemenangan moral berhubung saman difailkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di London.

Setiausaha politik presiden PAS, Dr Samsuri Mokhtar berkata kemenangan awal itu diperoleh apabila mahkamah menolak 50 daripada 55 muka surat penyataan pembelaan oleh Brown.

“Kemenangan awal di peringkat ini bolehlah disifatkan kemenangan moral yang akan merintis jalan yang lebih mudah ke arah kemenangan yang lebih besar nanti,” katanya dalam sidang media khas berhubung kes berkenaan di Marang, hari ini.

Terdahulu, peguam Abdul Hadi Wan Rohimi Wan Daud mengisytiharkan kemenangan awal dengan mengumumkan anak guamnya menang kesemua lima penghakiman interlokutori (keputusan yang tidak menyelesaikan kes sepenuhnya) terhadap Brown.

"Sarawak Report diarahkan membayar kos £28,900 (RM156,017)," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Sarawak Report  yang menyatakan saman Abdul Hadi itu akan didengar pada April tahun depan.

Baca: Perbicaraan penuh kes saman Sarawak Report April tahun depan

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.

Ia berkaitan laporan portal itu pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

'Audio rakaman mirip Nik Abduh'

Mengulas lanjut, Samsuri berkata antara pernyataan pembelaan oleh Brown yang dibatalkan mahkamah adalah berhubung pengakuan anggota jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa PAS menerima dana daripada Umno.

Dakwaan itu, katanya berdasarkan satu audio rakaman suara mirip kepada pemimpin PAS itu.

Mengenai keperluan untuk PAS mengemukakan saman malu kepada pihak lain, Samsuri yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berkata ia akan dirujuk kepada peguam terlebih dulu.

“Kita akan dapatkan nasihat daripada peguam kita dan Tok Guru (Abdul Hadi) juga akan dapatkan nasihat daripada peguam kita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun Samsuri berkata kes saman di London itu masih diteruskan.

"Kita merasakan bahawa ia telah membuka ruang bahawa banyak fitnah yang bertebaran sekarang ini adalah fitnah yang diada-adakan oleh pihak di luar sana,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Abdul Hadi di Malaysia dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Isyarat awal kemenangan PAS

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata dakwaan fitnah yang dilemparkan terhadap Abdul Hadi memberi kesan besar kepada presiden PAS itu menjelang PRU14.

“Alhamdulillah, semalam saat kita betul-betul perlu mendapatkan keputusan, mahkamah telah membuat keputusan tersebut walaupun sebahagian besarnya akan dibicarakan tetapi asas kepada tuduhan tersebut telah ditolak di mahkamah dan ia beri satu isyarat awal bagi pihak presiden dan PAS,” katanya.

Justeru itu Tuan Ibrahim menyeru semua pihak agar menghentikan fitnah tersebut.

“PAS juga memantau semua kenyataan pelbagai pihak berhubung isu tersebut,” tambahnya.

Tuan Ibrahim berkata perkembangan positif keputusan mahkamah London itu diyakini dapat melonjakkan sokongan penyokong dan pengundi kepada PAS.

 

Lihat Komen
ADS