Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tersentak dengan nasib Gani, bekas hakim ceburi politik

CALONKINI l Meskipun berasal dari latar keluarga yang terlibat dalam politik, calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Dr Sabirin Jaafar tidak pernah mmbayangkan dirinya akan menceburi bidang politik.

Ini sehingga perkhidmatan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang secara tiba-tiba ditamatkan, meskipun berbaki beberapa bulan sebelum ia sepatutnya berakhir.

"Saya sangat terkejut melihat seorang peguam negara... dihentikan seperti itu.

"Cara dia diperlakukan sangat memalukan. Dalam perkhidmatan kerajaan, beliau (kakitangan) kedua paling kanan selepas (jawatan) ketua setiausaha negara," kata bekas pesuruhjaya kehakiman itu kepada Malaysiakini dalam satu temu bual Jumaat lalu.

Kuasa pesuruhjaya kehakiman adalah sama dengan seorang hakim, tetapi mereka dilantik secara kontrak.

Apa yang berlaku ke atas Gani, berserta rombakan Kabinet 2015 yang menyaksikan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta kenaikan pangkat Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed menjadi seorang timbalan menteri, antara lain, akhirnya mendorong Sabirin mengubah laluan hidupnya.

Selepas 30 tahun kerjaya hidupnya itu, antara lain, pernah menjadi majistret, timbalan pendaftar, timbalan pendakwa raya dan peguam kanan persekutuan, beliau mengambil keputusan untuk menyertai BERSATU.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini, BERSATU menyerahkan kerusi Parlimen Masjid Tanah kepadanya yang kebetulan berasal dari sebuah perkampungan terpencil di Ramuan China Besar di Masjid Tanah.

Sabirin akan berdepan calon BN Mas Ermieyati Samsudin dan calon PAS Mohd Nasir Othman.

Masjid Tanah, sememangnya adalah kubu BN. Penyandang kerusi itu, Mas Ermieyati memenangi kerusi majoriti Melayu itu dengan majoriti 16,200 undi pada pilihan raya lalu.

Menceritakan liku-liku hidupnya, Sabirin mengakui mendapat bantuan dan biasiswa kerajaan serta berjaya melanjutkan pelajarannya di sebuah sekolah asrama penuh dan kemudian menjadi kumpulan perintis pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1983, di mana beliau mengikuti kursus undang-undang.

Selain itu, beliau juga memiliki dua ijazah kedoktoran PhD yang berkaitan dengan urusan maritim dari United Kingdom.

Beliau berkata, walaupun jika tidak menyertai politik, dia masih akan meninggalkan sistem kehakiman.

"Saya tidak gembira. Tugas itu bukan untuk saya," katanya, sambil menegaskan bahawa kontraknya sebagai pesuruhjaya kehakiman berakhir pada November 2016.

Sabirin kemudian menghabiskan beberapa bulan selepas itu sebagai rakan kongsi dalam sebuah firma undang-undang sebelum menceburi bidang politik.

Beliau percaya sebagai anak jati Masjid Tanah dirinya mempunyai kelebihan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS