Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

CalonKini | Di kalangan pemain politik khususnya di Kelantan, nama Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz cukup dikagumi dengan kelantangannya di pentas aktivis.

Ketika rakyat Kelantan begitu dambakan royalti petroleum, Syam salah seorang aktivis yang terkedepan melontarkan ketegasan suaranya dalam menuntut hak yang sekian lama terbenam.

Kini, ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi harapan untuk mengembalikan hak royalti minyak, Syam menjadi taruhan sebagai calon mereka di dewan undangan negeri (DUN) Apam Putra, parlimen Rantau Panjang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dari pentas aktivis kini diadun dalam arus politik secara langsung, pemuda berusia 36 tahun ini bertekad untuk hapuskan jurang yang lebar antara rakyat dan 'Yang Berhormat' (YB).

Syam memberi penegasan, jika namanya diangkat sebagai wakil rakyat, dia tidak akan izinkan sesiapapun memanggilnya dengan gelaran 'YB'.

"Jika saya menang, jangan panggil saya 'YB', cukup panggil saya Syam. Ia satu panggilan yang menyebabkan wujudnya jurang antara wakil rakyat dan rakyat.

"Contoh mudah, kesannya orang ramai yang ingin melaporkan masalah mereka kepada pimpinan atasan akan menjauhkan diri dan maklumat tepat serta bantuan tidak sampai secara langsung, " katanya dalam temuramah bersama Malaysiakini di Rantau Panjang, Kelantan, hari ini.

Mohd Hisyamuddin berkata, pada peringkat awal dia cuba mengelak untuk dicalonkan oleh pucuk pimpinan walaupun diberi tanggungjawab sebagai penyelaras DUN Apam Putra.

Namun katanya, tawaran itu akhirnya diterima bagi menyahut seruan parti dan arus perubahan rakyat Kelantan khususnya.

"Saya lebih suka dengan kerja-kerja di belakang tabir mungkin sudah selesa dengan pengalaman sebagai aktivis masyarakat sebelum ini.

"Jadi saya nekad dengan pengalaman itu saya mahu pendekatan politik juga perlu berlandaskan "konsep aktivisme" dalam kita berkhidmat kepada rakyat sekali gus menghapuskan pendekatan 'politik dinosour'.

"Kita ubah politik dinosour, kepada politik maklumat dan perlaksanaan kata kata, bukannya hanya janji kosong 5 tahun sekali," katanya yang juga graduan bidang Perniagaan Tani Universiti Putra Malaysia.

Pada PRU14 9 Mei ini ahli Jawatankuasa Penerangan HARAPAN Kelantan itu bakal berdepan dua pencabarnya di kerusi tersebut iaitu penyandangnya, Abdul Rasul Muhamed (PAS) dan Akbar Salim (BN).

Pada PRU 2013 lalu, Abdul Rasul memenangi kerusi yang dulu dikenali sebagai DUN Bukit Tuku itu dengan majoriti 879 undi menewaskan calon BN, Datuk Mohd Zain Ismail.

Sementara itu ketika ditanya sejauh mana peluang kemenangan itu akan berpihak kepadanya, Syam berkata, dia sudah dan sedang lakukan sebaik mungkin untuk menawan hati pengundi.

"Apa yang penting saya sudah bekerja daripada awal di kawasan ini walaupun sebelum dicalonkan.

"Saya ambil pendekatan cermat dengan menemui seramai mungkin pengundi termasuk di kubu kuat pihak lawan dengan pelbagai program. Selebihnya kita serah pada Allah," ujarnya.

Lihat Komen
ADS