Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribuan sambut Mahathir, Nik Omar di Putrajaya
Diterbitkan:  May 3, 2018 10:46 PM
Dikemaskini: 4:23 PM

PRU14 | Sejumlah 4,000 hadirin memenuhi kawasan tempat letak kereta Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya malam ini bagi menghadiri Ceramah Kebangkitan Rakyat yang menampilkan dua tumpuan utama kempen setakat ini - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Ia di sebalik hujan beberapa jam sebelumnya yang menjadikan tempat letak kereta itu basah dan berlumpur.

Program itu yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Mahathir dan mencecah 50,000 tontonan.

Ketibaan Nik Omar kira-kira pada jam 10 malam disambut laungan takbir oleh hadirin.

Mahathir pula tiba tidak lama kemudian.

Dalam ucapannya, Nik Omar mengimbas kembali betapa bapanya, allayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ingin berjumpa dengan bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh walaupun dalam keadaannya yang tidak sihat.

"Dia lemah dan demam, tetapi masih mahu berjumpa Karpal Singh," katanya.

Beliau menganggap ia sebagai cerminan keyakinan Nik Aziz bahawa dalam sebuah negara majmuk, kedua-dua warga Muslim dan bukan Muslim perlu dilayan secara baik.

Mahathir pula sekali lagi membangkitkan soal hutang negara dan isu 'derma' RM2.6 bilion.

"RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya. Ketika ditanya dari mana, dia kata derma daripada Arab.

"Arab mana yang cukup gila untuk buat demikian? Bill Gates pun tak beri sebanyak itu," katanya lagi.

Pandangan kakitangan kerajaan

Kebanyakan hadirin datang daripada Lembah Klang dan Negeri Sembilan, dan ada juga kalangan kakitangan kerajaan.

Tay, seorang pesara kerajaan, datang dari Puchong untuk mendengar ucapan Mahathir.

"Saya mengundi sejak berumur 20-1n. Kini keadaan makin teruk berbanding ketika saya dalam perkhidmatan awam," katanya.

Seorang wanita separuh umur yang enggan dinamakan pula berkata datang dari Perak bersama anaknya, seorang anggota polis.

"Anak sulung saya berkerja dengan Perbadanan Putrajaya, jadi kami bermalam di rumahnya di sini," katanya.

Kebanyakan kakitangan awam biasanya takut untuk menghadiri himpunan anjuran pembangkang kerana berisiko dikenakan tindakan disiplin.

Tetapi tidak bagi pegawai imigresen, Yusof Yahya. "Saya tidak peduli lagi, saya pun akan pencen tahun depan," katanya yang berusia 59 tahun.

Membandingkan pentadbiran Mahathir dengan Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata kakitangan awam pada era 1980-an dan 1990-an tidak terbeban dengan kos sara hidup dan GST.

"Harga petrol juga tidak mahal, ia terkawal," katanya.

Pegawai Kementerian Pendidiakn Mohd Sallehuddin, 39 tahun, berkata beliau dulu mengundi PAS tetapi kini membuat keputusan untuk menyokong HARAPAN.

"Saya datang untuk dengar Mahathir dan Nik Omar. Saya hanya tengok video Nik Omar di media sosial, tetapi hari ini mahu tengok sendiri.

"Sudah dua kali saya mengundi PAS, tetapi ia kini jadi parti yang susah bercampur dengan masyarakat lain dan dan (mereka yang) beza pandangan," katanya yang mengundi di Parlimen Bangi.

Calon DAP Parlimen Segambut Hannah Yeoh dalam ucapannya meminta kakitangan awam untuk menyokong HARAPAN.

Dengan penuh emosi, beliau menceritakan tentang gurunya yang membantu kempennya ketika pertama kali bertanding dalam PRU 2008.

"Kerana cikgu say memilih perubahan pada 10 tahun lalu...sebab dia berani (berkempen untuknya) dia menyumbang untuk pelantikan speaker wanita pertama di DUN Selangor.

"Jadi saya menggesa kakitangan awam untuk menyokong HARAPAN. Mereka (kerajaan) tidak boleh mengambil tindakan terhadap anda kerana selepas 9 Mei, kita akan ada kerajaan baru yang akan bertindak dengan adil," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS