Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai ‘mati katak’ dan bukan mati syahid mengundang rasa tidak puas hati dan kemarahan pemimpin PAS.
Antara mereka yang membidas bekas perdana menteri itu adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor yang menuntut Dr Mahathir diheret ke muka pengadilan supaya tragedi berkenaan tidak lagi akan berulang.
“Dr Mahathir dalam usaha mensucikan diri, sekali lagi menyalahkan apa yang dinamakan 'Amanat Haji Hadi' sebagai pemicu kepada tragedi pembantaian kejam 19 November 1985, bahkan diseret sekali pihak mufti-mufti untuk memikul beban kesalahan beliau.
“Suruhanjaya Siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa tragedi berdarah ini.
“Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily.
Selain Riduan, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik juga membidas bekas perdana menteri itu dan menyifatkan tindakannya ibarat menjirus lagi luka dengan cuka.
Katanya, walaupun puluhan tahun sudah berlalu, namun hati perut Dr Mahathir memang sangat keras dan kejam kerana masih gagal memahami perasaan keluarga mangsa Memali itu.
“Saya tidak nampak di mana letaknya taubat Mahathir yang dibanggakan oleh para ahli-ahli Pakatan Harapan.
“Ambillah iktibar wahai Mahathir. Sejauh itu Allah telah memberi amaran, kamu masih gagal membaca isyarat-Nya.
“Dari kedudukan seorang PM, Allah jatuhkan martabatmu menjadi khadam DAP dan PKR yang kamu musuhi sekian lama,” katanya dalam kenyataan yang turut disiarkan di Harakahdaily.
Menurut Mokhtar beliau tidak pernah kisah dengan taubat Dr Mahathir itu tetapi memandang berat kisah kelakuan dan kata-kata perdana menteri selama 22 tahun itu.
“Saya bukan keluarga Syuhada Memali. Tapi darah perjuangan mereka ada dalam hati dan roh saya. Saya tetap merasa sakit dengan ketajaman lidah kamu,” katanya.
Dr Mahathir ketika berucap pada Ceramah Perdana bersama Calon PKR Lembah Pantai di Kuala Lumpur, semalam berkata ‘Amanat Haji Hadi’ pada 1981 yang menjadi punca tragedi berdarah Memali apabila penyokong PAS merusuh dan membunuh anggota polis.
“Amanat Haji Hadi ringkasnya menyuruh orang dia (PAS) supaya membunuh pegawai kerajaan, kononnya kerajaan kafir dan sebab itu dia menentang kerajaan kafir.
“Kononnya orang dia (PAS) yang mati dalam melawan kerajaan kafir ini akan mati syahid. Tragedi di Memali, mereka menembak mati empat orang polis dan selepas itu baru polis membalas balik dan mereka mati juga seramai 14 orang.
“Bukan mati syahid, mati katak,” kata Dr Mahathir yang adalah perdana menteri ketika itu.
Peristiwa yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, pada 19 November 1985 itu menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya sehingga mengorbankan Ibrahim dan 17 yang lain termasuk empat anggota polis, berpuluh-puluh lain cedera serta beratus-ratus orang ditahan.
