Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parit Buntar: Pertarungan 3 penjuru cerahkan peluang BN?
Diterbitkan:  May 4, 2018 2:54 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

PRU14 l Parit Buntar yang terletak di utara Perak boleh dianggap sebagai kubu kuat pembangkang kerana menguasai parlimen itu sejak pilihan raya umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Malah, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen tersebut iaitu Titi Serong dan Kuala Kurau juga merupakan antara kawasan yang sukar ditawan oleh Barisan Nasional (BN).

Namun, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini, faktor perpecahan di kalangan pembangkang dan pemilihan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sebagai calon BN dilihat mungkin mampu mengakhiri monopoli pembangkang di Parlimen itu.

Pertembungan tiga penjuru di kerusi tersebut yang melibatkan BN, PAS dan PKR-AMANAH juga sebenarnya memberi peluang kepada BN untuk menawan semula Parlimen itu dan ia wajar dimanfaatkan.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata BN mempunyai peluang cerah bagi memenangi kerusi Parit Buntar berikutan pertembungan Pakatan Harapan dan PAS.

Menurutnya ketiadaan PAS pasti dirasai Pakatan Harapan kerana parti Islam itu memainkan peranan yang besar malah menjadi antara jentera terkuat yang menyumbang kepada kejayaan pembangkang pada 2008 dan 2013.

“Nadi utama Pakatan Harapan adalah PAS, kini PAS dan jentera partinya sudah tidak lagi bersama Mujahid (Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyertai AMANAH) selain AMANAH masih di peringkat awal.

"Jika beliau (Mujahid) dapat undi pun mungkin ihsan daripada bekas ahli PAS dan juga undi orang Cina di Parlimen itu," katanya sambil menambah BN kini sebenarnya dalam keadaan selesa untuk menawan semula Parlimen Parit Buntar.

Bagi seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian, calon BN merupakan seorang yang berkaliber dan pengalamannya dalam perkhidmatan awam merupakan satu kelebihan untuk parti meraih kemenangan.

Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia itu berkata pengalaman mentadbir negeri boleh digunakan oleh Abdul Puhat untuk membangunkan Parit Buntar seterusnya membantu urus tadbir BN jika berkuasa nanti.

“Pengaruhnya juga begitu besar terutamanya dalam kalangan penjawat awam, beliau boleh menggerakkan sokongan kalangan penjawat awam bagi menyokong BN,” katanya.

Abdul Puhat yang pernah berkhidmat sebagai SUK Perak bagi tempoh 30 Dis 2011 hingga 24 April 2018 bakal ditentang penyandang dua penggal kerusi itu Mujahid (manah) dan Ahmad Azhar Sharin daripada PAS.

Pada PRU13, Mujahid menewaskan calon BN Muammar Gaddafi Jamaluddin dengan majoriti 8,476 undi.

Parlimen Parit Buntar mempunyai 51,860 pengundi berdaftar dengan hampir 70 peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina dan lima peratus pengundi India.

- Bernama

Lihat Komen
ADS