Pertembungan antara Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas anak muridnya, Ismail Mohamed yang kini adalah pemangku ketua Umno bahagian Pagoh menjadikan pengundi di kawasan Parlimen Pagoh kini berbelah-bahagi.
Sebagai contoh, Kampung Pergam yang terletak kira-kira satu kilometer berhampiran sebuah taman perindustrian yang kebanyakannya adalah kilang perabot, berhampiran tebing sungai Muar selama ini dianggap benteng kuat buat BN.
Pada PRU13 tahun 2013, sebahagian besar penduduk kampung mengundi menyokong Muhyiddin yang mewakili BN. Beliau menerima 186 undi yang memihak kepada parti pemerintah, sementara PAS hanya menerima 30 undi.
Antara jasa terbaharu Muhyiddin, termasuk menyumbang dana bagi membaikpulih masjid di kampung itu.
Tetapi sekarang, Muhyiddin tidak lagi bersama BN, penduduk pula mendapati diri mereka dalam keadaan serba salah untuk membuat pilihan.
“Muhyiddin dan Ismail - dua-dua, banyak berkhidmat untuk Pagoh, kita jadi serba salah nak pilih,” kata seorang penduduk kampung itu yang hanya mahu dikenali sebagai Atan kepada Malaysiakini. Rakannya, Amber yang berusia dalam lingkungan 60 tahun mengangguk setuju.
Amber berkata beliau juga "50-50" dalam membuat pilihan, seperti kebanyakan rakan-rakan mereka di kampung itu.
Meskipun Atan belum membuat keputusan untuk memilih sama ada Muhyiddin atau Ismail, namun pesara itu tanpa berselindung melabelkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, sebagai "tak boleh pakai” kerana skandalnya yang banyak.
Beliau juga lantang membantah cukai barangan dan perkhidmatan GST dan bersetuju dengan pandangan beberapa ulama Islam bahawa cukai berkenaan adalah 'haram' dan bahawa sokongan terhadap Najib ibarat bersekongkol dengan pelaksanaan cukai yang menindas rakyat itu.
Sentimen yang sama terhadap Najib disuarakan oleh penduduk lain seperti veteran tentera Mohd Nasir Abdullah, 58, yang kini adalah penyokong kuat Muhyiddin.
“Kita tak kacau Umno tapi kita nak Najib turun,” kata anak jati Pagoh itu yang adalah bekas penyokong BN ketika ditemui di Bukit Gambir.
Tetapi bagi penduduk lain, pilihan antara Muhyiddin dan Ismail tidaklah begitu sukar.
“Orang lama macam saya ini senang saja, nampak dacing (BN) pangkah, senang dan mudah dacing,” kata seorang penduduk Kampung Pergam yang ingin dikenali sebagai Ahmad.
Sentimen seumpama itu yang dicari oleh Ismail untuk membantu mengalahkan bekas bosnya.
“Saya lihat mereka masih lihat parti. Parti adalah perkara yang selama ini orang Pagoh pegang.
“Individu kalau dalam BN kita hargai tapi bila keluar kami pilih parti la, itu pegangan Pagoh,” kata Ismail kepada Malaysiakini.
Pagoh bukannya satu-satunya kerusi yang Muhyiddin akan bertanding. Di seberang Sungai Muar di Ledang, bekas timbalan perdana menteri juga mengintai kerusi DUN Gambir - kerusi yang dimenang BN pada 2013 dengan hanya 310 undi.
