Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pecat? Saya memang bukan ahli parti kleptokrat'
Diterbitkan:  May 5, 2018 8:52 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

PRU14 | Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz tidak kisah dengan pemecatannya dari Umno kerana menurutnya dia tidak mahu menjadi ahli organisasi yang membiarkan gejala kleptokrasi terjadi.

Mempersoalkan logik pemecatan itu, Rafidah berkata, beliau sudah berhenti menjadi ahli Umno sejak sedekad lalu dan sudah bertahun-tahun tidak menghadiri sebarang mesyuarat cawangan.

"Umno bukan lagi Umno yang saya sertai sekitar 1960an dulu. Semangat, budaya dan kewujudan Umno hari ini tersasar jauh dari Umno yang asal oleh mereka yang kononnya bergelar pemimpin hari ini.

"Kini dalam Umno hanya tentang kesetiaan terhadap individu, budaya materialistik, yang sering disebabkan oleh ketamakan dan kemewahan peribadi, dan bukannya untuk berkhidmat untuk rakyat dan negara.

"Rendah diri, sikap baik dan rasa hormat sudah diganti dengan kesombongan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Umno mengumumkan memecat Rafidah dan Tan Sri Daim Zainuddin yang dilihat cenderung berpihak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN). Kedua-dua bekas menteri itu semalam tampil di pentas HARAPAN di Melaka.

Selain Rafidah dan Daim, seorang lagi veteran Umno iaitu Tan Sri Rais Yatim turut dikecam pemimpin Umno kerana sering membuat kenyataan mengkritik BN.

Mengulas lanjut Rafidah berkata, jika Umno mahu terus relevan dalam persekitaran yang sentiasa berubah, Umno perlu melakukan perubahan dan kembali kepada asas perjuangannya.

"Umno tidak mempunyai apa-apa tanpa semangat perjuangannya yang asal.

"Seseorang tidak perlu mempunyai kad keahlian mana-mana parti politik untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya tidak ada kad keahlian," katanya.

Selepas hampir separuh abad menjadi ahli Umno, jelas Rafidah, beliau tidak lagi bersetuju dengan Umno hari ini yang menurutnya tidak mempunyai nilai dan prinsip.

"Malah Umno tidak patuh pada perlembagaannya sendiri dan wujud tanpa dasar undang-undang," katanya.

Lihat Komen
ADS