Calon HARAPAN, BN Panchor sedia sepentas
PRU14 | Bukan untuk mencari salah sesiapa mahu pun berbahas isu politik, sebaliknya Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan menawarkan pentas kepada tiga calon di dewan undangan negeri (DUN) Panchor untuk membentangkan tawaran mereka kepada pengundi setempat.
Justeru, forum yang dinamakan sebagai 'Forum Fastabiqul Khairot' bakal berlangsung esok dengan menampilkan calon HARAPAN; Zulhazmi Hassan, calon BN; Zarina Eusope dan penyandang kerusi tersebut, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dari PAS.
Zulhazmi yang juga ketua pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, beliau mewakili penganjur sudah menghantar jemputan kepada Mohd Amar dan Zarina.
Bagaimanapun setakat ini, hanya Zarina yang menyambut baik forum tersebut.
"Saya berhubung dengan pegawai khas kepada Mohd Amar dan dimaklumkan beliau mempunyai dua program lain di luar kawasan.
"Namun, besar harapan kami untuk sama-sama duduk sepentas bagi memberi penerangan kepada rakyat di DUN Panchor mengenai tawaran khidmat masing-masing," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulhazmi berkata, melalui forum tersebut rakyat dapat mendengar sendiri penjelasan yang dibuat bakal-bakal wakil rakyat sebelum membuat pilihan di kertas undi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Ini satu peluang terbuka untuk kita berlumba-lumba membuat kebaikan demi masa depan rakyat.
"Alhamdulillah kita mendapat respon positif daripada calon BN dan berharap calon PAS sebagai penyandang akan ikut serta " katanya.
Forum tersebut bakal berlangsung di Wisma Dato Zawawi, Pengkalan Chepa dan bakal bersiaran secara langsung melalui Facebook Live.

