CALONKINI | Walaupun nama Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim masih belum dikenali dalam persada politik tanah air namun beliau hampir 10 tahun terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan.
Calon BN berusia 47 tahun ini terlebih dahulu melibatkan diri dengan kerja-kerja misi kemanusiaan sama ada di dalam mahupun luar negara sebelum bergiat aktif dalam dunia .
Beliau pernah menyertai misi ke Jepun dan New Zealand bagi membantu penduduk yang terjejas akibat gempa bumi dan bencana alam, selain menyertai misi bantuan kepada masyarakat Rohingya di Myanmar.
Selepas terlibat dengan pelbagai misi, kini Mutalif atau mesra dipanggil Talib berkata, beliau mahu terlibat dengan politik kerana berpendapat ia merupakan platform yang lebih luas bagi membantu masyarakat.
“Sudah sampai masanya pengalaman sewaktu misi kemanusiaan itu saya terjemahkan dan disampaikan pula kepada penduduk di sekitar Petaling Jaya dan kawasan berdekatan.
"Di sini kalau kita lihat, isunya lebih terperinci dan memerlukan respon serta penyelesaian segera.
“Antaranya masalah denggi, gejala dadah, kurangnya kemudahan sukan dan perlunya diwujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) seperti yang telah ada di tempat lain,” katanya yang juga fasih berbahasa Tamil kepada Malaysiakini.
Tak mahu dibanding dengan abang
Mungkin ramai yang tidak tahu Mutalif merupakan adik kepada penyandang parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga merupakan pengerusi Lembaga Tabung Haji.
Namun, bagi Mutalif beliau tidak mahu dibandingkan dengan abangnya itu. Ini kerana, menurutnya masing-masing mempunyai cara yang tersendiri.
“Saya ada cara saya, dia ada cara dia,” kata bapa kepada empat orang cahaya mata itu lagi.
Malah, Mutalif juga memberitahu beliau tidak gemar menjadikan politik sebagai tempat menjatuhkan antara satu sama lain sebaliknya ia perlu dimanfaatkan dengan memberi perkhidmatan sebaiknya kepada masyarakat.
“Politik adalah arena untuk mempersembahkan pakej perkhidmatan siapa yang lebih relevan dan berguna untuk masyarakat. Bukan medan mengutuk serta menjatuhkan orang lain.
“Dengan pertandingan sihat, pengundi akan lebih terbuka dan bertamadun untuk memilih siapa wakil rakyat yang benar-benar memperjuangkan dan menyelesaikan nasib mereka,” ujar graduan daripada universiti di California, Amerika Syarikat itu lagi.
Pada pilihan raya umum ke-14, Mutalif akan dicabar rakan sekolahnya, Ariffin Mahaiyuddin dari PAS dan Syamsul Firdaus Mohd Supri (PKR).
DUN Taman Medan terletak di kawasan parlimen Petaling Jaya dan mempunyai 68 peratus pengundi Melayu, 12 peratus Cina, 19 peratus India dan satu peratus lagi lain-lain bangsa. Pada PRU-13, kerusi itu dimenangi Haniza Talha (PKR) dengan majoriti sebanyak 3,731 undi.
Namun pada pilihan raya kali ini, Haniza tidak mempertahankan kawasan itu dan berpindah ke DUN Lembah Jaya.
