Paling Popular
Terkini

PRU14 | Hanya pernah sepentas sekali semasa menjadi seteru politik, rupa-rupanya Allahyarham Datuk Fadzil Noor mempunyai tempat tersendiri buat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata bekas perdana menteri itu, Fadzil pernah menjadi penasihat agama beliau, iaitu ketika tokoh terbabit belum aktif dalam politik.

Kata Dr Mahathir pada ketika tertentu apabila berdepan dengan sesuatu isu berkaitan Islam yang tidak difahami beliau akan mempelawa Fadzil ke rumahnya.

"Dia (Fadzil) ini dulu sebelum aktif dalam politik, dia jadi saya punya consultant agama.

"Apabila saya mendapat sesuatu (persoalan) yang saya kurang faham, saya jemput dia ke rumah," katanya semasa berceramah di Kampung Bukit, Pokok Sena.

Dr Mahathir hadir di sekitar kawasan itu untuk berkempen bagi membantu calon Pakatan Harapan menjelang PRU ke-14 yang akan berlangsung kira-kira tiga hari lagi.

HARAPAN menurunkan ahli politik veteran Datuk Mahfuz Omar yang akan mempertahankan kerusi parlimen Pokok Sena. Beliau memenanginya pada 2013 menggunakan tiket PAS.

Sebelum itu beliau menziarahi kubur Fadzil yang juga bekas presiden PAS di Kolej Islam Darul Ulum yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan berkenderaan dari tempatnya berceramah.

Kedua-dua mereka pernah bermusuh di pentas politik. Dr Mahathir menjadi presiden Umno dan BN, manakala Fadzil - seorang bekas pensyarah universiti - memimpin PAS.

Pada satu ketika Fadzil juga mengetuai gerakan membela Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat oleh Dr Mahathir pada 1998.

Dr Mahathir dan Fadzil pernah berkongsi pentas yang sama dan tidak menyerang antara satu sama lain pada Mei 2002. Ketika itu mereka dipertemukan oleh isu Palestin.

Menurut pengerusi HARAPAN itu, dalam pertemuannya dengan Fadzil mereka berbincang mengenai pelbagai hal berkaitan, terutama membabitkan agama serta tafsiran Islam.

Dan Dr Mahathi memberikan pengiktirafan tinggi kepada Fadzil petang tadi.

"Pengetahuan dia luar biasa, sebab itu dia menjadi pemimpinan yang baik kepada PAS semasa dia menjadi presiden parti itu," katanya.

Lihat Komen
ADS