Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PRU14 | Apabila berbincang mengenai politik di Johor, agak mustahil untuk tidak menyebut nama Tan Sri Shahrir Samad, seorang yang kuat semangatnya serta idealistik dengan perjalanan sejarah politiknya yang berwarna warni dan begitu menarik untuk diikuti.

Kariernya dalam politik bermula apabila menjadi setiausaha politik termuda di negara ini apabila menjadi setiausaha politik Tun Musa Hitam, yang ketika itu Menteri Perusahaan Utama, pada 1973 dan kemudiannya berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, juga sebagai setiausaha politik pada 1975 hingga 1976.

Shahrir, yang dilahirkan di Kuantan, Pahang, memulakan karier politiknya agak awal apabila memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru semasa Pilihan Raya Umum 1978 pada usia 29 tahun.

Mulai saat itu, beliau dikenali di Johor Bahru sehingga hari ini. Walaupun pada masa itu, beliau pernah bertanding sebagai calon Bebas semasa pilihan raya kecil, dan tiga kali digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan sekali lagi bertanding untuk kerusi berkenaan, sepanjang tempoh itu dia mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan.

Johor Bahru sentiasa menjadi kubu kuat BN dengan adanya Shahrir.

Menariknya kali ini, golongan muda daripada pembangkang akan menjadi lawannya, sedikit dejavu dari masa lalu, mewujudkan gembar gembur dan rasa ingin tahu atau anda boleh kata, menjadi buah mulut di kalangan penduduk Johor Bahru yang bertanyakan: “Siapa dia Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) yang mahu mencabar gergasi politik (Shahrir)?”

Shahrir mengakui lawannya adalah seorang yang tidak sepatutnya dipandang ringan dan menegaskan bahawa bagi setiap pilihan raya, ia tidak pernah menjadi kemenangan yang mudah bagi beliau kerana dia meletakkan nasibnya kepada pengundi.

“Saya tidak menganggap Pilihan Raya Umum ke-14 atau mana-mana pilihan raya sebagai laluan mudah. Pasal ini lebih pada soal bila saya sebagai anggota parlimen, bila sampai tempohnya, saya harus menyerah diri kepada pengundi.

“Pilihan pengundi.. keputusan pengundi menilai saya selepas kerja saya sebagai ahli parlimen selama lima tahun dan sama ada mereka rasa saya boleh menjadi ahli parlimen mereka untuk lima tahun yang akan datang,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Shahrir juga mendedahkan bahawa lawannya yang berumur 32 tahun ini sebenarnya adalah anak didik Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang juga dianggap sebagai seorang ahli strategi bagi parti reformasi politik Anwar.

Apa yang menarik, anak muda yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Johor Bahru, pernah menjadi pegawai khas kepada Rafizi ketika menjadi Anggota Parlimen Pandan dan kemudian menjadi pengarah strategi untuk Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

“Satu, kita tidak nafikan (kehebatan Tan Sri Shahrir), maksudnya memang ada sebablah kenapa selama ini beliau menjadi ahli parlimen sejak tahun 1978 lagi.

"Kalau dibandingkan dengan umur saya pun, saya lahir pada tahun 1986, jadi usia perkhidmatan beliau itu lebih lama daripada usia saya sendiri,” kata Akmal kepada Bernama baru-baru ini.

Perhati janji dan tawaran peribadi

Katanya beliau tidak menafikan pengundi Johor Bahru memandang tinggi perkhidmatan Shahrir selama ini dan perkembangan ini merupakan satu cabaran kepadanya dan tidak boleh mengambil mudah keadaan itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Md Akbal Abdullah yakin tokoh politik Umno itu akan terus mengekalkan kemenangan beliau di kerusi Parlimen berkenaan.

Dengan kedua-dua calon meneruskan kempen mereka, adalah menarik untuk memerhati janji peribadi mereka dan tawaran yang dibuat untuk orang Johor.

Dengan Shahrir menawarkan pengalaman luasnya untuk terus membangunkan Johor Bahru, Akmal sebaliknya menemui pengundi bagi memastikan mereka, pada peringkat ini mengenali wajahnya dan menawarkan kemampuannya juga untuk membangunkan kawasan Parlimen ini, yang membentuk 101,409 pengundi pada PRU14.

Pada pilihan raya umum lepas, Shahrir, 68, memenangi kerusi Parlimen ini dengan majoriti 10,495 undi menewaskan calon PKR Tan Sri Md Hashim Md Hussein.


- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS