Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PAS Kelantan dapat waran tangkap, mungkin ke penjara
Diterbitkan:  May 6, 2018 6:06 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Seorang pemimpin PAS yang menjadi calon dalam PRU ke-14 ini berdepan kemungkinan dipenjara sebulan ekoran waran tangkap yang dikeluarkan sebuah mahkamah rendah syariah di Kelantan.

Melalui perintah yang dikeluarkan itu Wan Ismail Wan Jusoh didakwa gagal membayar tunggakan nafkah bernilai RM78,000 sejak 2011.

Nafkah itu sepatutnya dikeluarkan Wan Ismail untuk dua anaknya hasil pernikahan dengan seorang wanita Kemboja, Siti Aishah Chou Abdullah.

Peguam syarie yang bertindak bagi pihak Siti Aishah, Rosmah Mohd Zain, berkata waran tangkap itu dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu.

Katanya saman penghutang penghakiman itu dikemukakan pada 4 Jan lalu supaya Wan Ismail - kini menjadi calon PAS untuk kerusi parlimen Ketereh - menjelaskan tunggakan berkenaan.

Kata Rosmah tunggakan yang dituntut Siti Aishah ialah dari Julai 2011 hingga Dis 2017 untuk dua anaknya yang kini berusia 13 dan 12 tahun.

Memetik kenyataan peguam syarie berkenaan BH Online melaporkan waran tangkap itu dikeluarkan hari ini supaya polis dapat menangkap Wan Ismail, 63, dan memasukkannya ke penjara selama sebulan.

Rosmah memberitahu Siti Aishah - seorang mualaf - membuat tuntutan nafkah terhadap Wan Ismail pada 2009 untuk dua anak mereka selepas pasangan terbabit disahkan bercerai pada 18 Nov 2008.

Diberi tempoh seminggu

Bagaimanapun, kata Rosmah, Wan Ismail gagal membayar nafkah RM1,000 sebulan seperti diarahkan Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada 13 Julai 2011.

"Wan Ismail berkahwin dengan Siti Aishah pada 1 November 2004 di sebuah masjid di Narathiwat, Selatan Thailand sebelum melafazkan cerai di luar mahkamah tanpa kebenaran pada 16 April 2008," katanya.

Menurut Rosmah selepas bekas anggota dewan undangan negeri Melor itu gagal membayar nafkah sejak Julai 2011 Siti Aishah sekali lagi memfailkan saman penghutang penghakiman supaya anggota PAS berkenaan membayar tunggakan nafkah antara Julai 2011 hingga Disember tahun lalu.

"Wan Ismail pada ketika itu sudah bersetuju untuk membayar kesemua tunggakan ke sebuah akaun anaknya, namun akaun itu didaftar atas nama Wan Ismail dan anaknya.

"Keadaan ini menyebabkan Siti Aishah tidak dapat mengeluarkan wang berkenaan untuk diberikan kepada anaknya," kata Rosmah.

Ekoran itu, Siti Aishah sekali lagi merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada hari ini.

"Sebelum ini, mahkamah sudah mengeluarkan perintah sekiranya dia (Wan Ismail) gagal membayar tunggakan nafkah anak dalam masa seminggu bermula 27 Februari, dia akan dipenjara selama sebulan.

"Hari ini kita menerima notis penghakiman dan mahkamah memutuskan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Wan Ismail," katanya.

Lihat Komen
ADS