Wawancara Malaysiakini

Dr M: Dulu makan sehari 3 kali, sekarang sekali saja

Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Calon perdana menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui isu 1MDB kurang mendapat perhatian di kalangan pengundi luar bandar berbanding di bandar.

Katanya, masih ramai yang tidak faham kerumitan kes yang digelarnya sebagai skandal global paling besar itu.

“Saya fikir orang kampung di pedalaman tidak faham... Meraka tidak faham RM1 bilion, banyak mana tu? Bagi mereka RM1 juta dan RM1 bilion itu sama.

“Bagi mereka, jika perdana menteri curi duit pun, mereka ingat semua perdana menteri, termasuk saya, curi duit,” kata bekas perdana menteri 22 tahun itu.

Masyarakat bandar pula, kata Mahathir, berbeza sama sekali.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya bagaimana penerimaan penduduk luar bandar berkaitan penjelasannya berkaitan isu 1MDB dalam wawancara dengan Malaysiakini, Jumaat lepas.

Mahathir keluar Umno untuk kali kedua pada Februari 2016, kira-kira sebulan selepas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak daripada salah laku berkaitan 1MDB, walaupun tiga kertas siasatan telah dihantar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib berulang kali menafikan dakwaan salah laku terhadapnya.

Sejak itu, kempen Mahathir mendorong ke arah pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang kemudian bergabung dalam Pakatan Harapan bagi menentang BN dan PAS dalam pilihan raya umum lusa.

Sementara itu, Mahathir menjelaskan, HARAPAN turut menumpukan isu kos sara hidup bagi penduduk luar bandar.

“Di kampung, mereka faham kos sara hidup tinggi.

“Ada orang dulu makan tiga kali sehari, sekarang tinggal dua sahaja, malah ada yang makan sehari. Mereka faham.

“Anak mereka tidak dapat biasiswa, mereka faham,” katanya.

[Baca berita asal]