Paling Popular
Terkini

ULASAN l Jika kita melihat peminum arak sambil memaki hamun orang lain, maka itu tidak pelik. Demikianlah tabiat pemabuk dan kesan minuman haram. Apa yang pelik jika dia mabuk tetapi berbudi bahasa dan bersopan santun.

Jika kita melihat peminum kopi sambil memaki hamun orang lain, kita tahu itu sikap yang tidak wajar. Namun ia bukan sesuatu yang pelik. Sekalipun kopi tidak memabukkan tetapi ia bukan minuman lambang kebaikan ataupun keburukan.

Namun jika kita lihat orang yang sedang meminum air Zam Zam bersama kempen keberkatan dan kelebihan air itu di sisi agama, kemudian sambil minum dia memaki-hamun, melaknat, menyumpah, mencerca dan segala keburukan keluar dari mulutnya, maka itu sesuatu yang pelik.

Lebih pelik lagi, jika dia menyatakan perbuatan itu hasil dari keberkatan air Zam Zam.

Dalam kes peminum arak yang memaki hamun orang, itu pasti satu kemungkaran, namun ia tidak mengelirukan. Ia mencemarkan peribadi individu terbabit tapi tidak mencemar kefahaman agama orangramai sebab semua orang tahu agama melarang kita minum arak.

Dalam kes peminum kopi sambil memaki hamun orang lain juga satu kemungkaran. Namun, ia tidak mengelirukan orangramai. Walaupun minum kopi bukan satu kemungkaran namun memaki hamun orang lain merupakan satu akhlak yang buruk.

Kalau pun ada yang mengaitkan perbuatan buruk hasil dari minum kopi, namun itu tidak mencemarkan agama Islam kerana agama ini tidak pernah memerintah penganutnya minum kopi, apatahlagi menyebut tentang keberkatan kopi untuk peminumnya.

Paling tinggi, kopi diizinkan untuk kita minum seperti minuman lain. Semua faham hal itu.

Namun, meminum air Zam Zam sambil berbicara tentang keberkatannya tapi dalam masa yang sama memaki hamun dengan segala perkataan yang buruk, itu boleh mengelirukan orangramai.

Nanti akan ada yang sangka, demikianlah akhlak apabila seseorang minum air Zam-zam, ataupun air Zam Zam itu sama seperti arak yang merosakkan akal dan budi.

Demikian perbezaan pihak yang menggunakan agama untuk berkempen politik dan pihak yang tidak menggunakannya.

Menggunakan agama berkempen politik tapi dalam masa yang sama menyalahi ajaran agama, memberi kesan buruk kepada agama itu sendiri. Bukan kerana agama itu buruk, tetapi kerana kempen itu buruk.

Peminum air Zam Zam tadi, sama ada dia berhenti memaki hamun orang ataupun dia berhenti meminum air Zam Zam sambil memaki hamun. Bukan kerana kita anti air Zam Zam tapi untuk menyelematkan kekeliruan awam tentang fungsi air itu.

Agama Islam itu indah. Namun jika ia dijadikan bahan mainan politik maka rosaklah keindahan Islam. Berlakulah salah faham terhadap kemuliaan agama ini.

Justeru, apabila kita melarang agama dijadikan bahan kempen politik yang sedemikian, adalah disebabkan hasrat kita menyelamatkan agama dari dicemari.

Apakah terbayang oleh kita, bagaimana politik atas nama agama itu dipenuhi dengan maki hamun, cercaan dan sumpah seranah. Dukacitanya, kesemua itu dibaluti dengan bungkusan agama.

Anak-anak muda yang terpengaruh mengikuti akhlak yang sama. Para pengikut sejak dahulu diasuh dengan perangai yang demikian. Maki hamun seakan menjadi zikir yang tidak dapat berpisah lagi dari lidah dan tulisan mereka.

Hal ini dapat dilihat oleh sesiapa sahaja yang membaca dan mendengar ucapan mereka. Tidakkah itu menjadi bukti yang nyata bahawa apa yang dibawa itu bukan dari ajaran agama dan tersimpang dari rahmat Allah.

Maka, seperti mana larangan menggunakan agama untuk tujuan perdagangan dengan cara yang salah. Demikian larangan menggunakan politik agama patut dilakukan jika ia membawa kepada salah faham terhadap Islam.

Mesej ini umum merangkumi sesiapa sahaja yang berkempen politik menggunakan nama Islam tapi maki hamun dan cercaan menghiasi cara mereka. Demikian pembohongan mewarnai corak mereka.


DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

Artikel ini pertama kali dimuat-naikkan di Facebook beliau dan tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS