Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Dua era perdana menteri Umno yang tidak popular di kalangan rakyat khususnya orang Melayu. Pertama era Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan kedua era Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Tunku disayangi rakyat sebagai bapa kemerdekaan yang mengasaskan dasar kemajuan dan kemakmuran negara yang tercapai dalam masa yang singkat sehingga beliau mengisytiharkan dirinya sebagai PM yang paling gembira di dunia pada tahun 1959.

Namun 10 tahun kemudiannya rakyat terutama orang Melayu mulai resah dengan kepimpinannya yang keterlaluan bertolak ansur kepada MCA dan orang China dengan bersikap "tidak apa" terhadap desakan bangsa Melayu.

Walaupun orang Melayu hilang keyakinan kepada Tunku tetapi tidak hilang keyakinan kepada Umno kerana mempunyai ramai barisan pelapis yang berkredebiliti tinggi. Bila Tunku berundur secara terhormat, orang Melayu memberikan keyakinan kepada Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau dengan pantas mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada kerajaan dan juga memantapkan perpaduan kaum yang lebih besar di bawah BN.

Bagaimanapun hilang keyakinan kepada Najib menjadi luka tidak sahaja kepadanya tetapi turut mencedera parahkan Umno pada keseluruhannya.

Ini kerana beliau tidak mahu berundur secara terhormat seperti Tunku walaupun lukanya telah menjadi cabuk busuk kerana terdedah dari dalam.

Siapa layak ganti Najib

Sekarang orang Melayu tidak sahaja hilang kepercayaan kepada Najib tetapi juga kepada Umno, tidak seperti era Tunku keyakinan hilang hanya kepada Tunku.

Kehilangan keyakinan ini lebih sukar untuk diatasi kerana rakyat tidak nampak dengan jelas siapakah layak untuk menggantikannya.

Berbanding dengan era Tunku, rakyat tidak bimbang dengan pengundurannya kerana Umno mempunyai ramai lagi pemimpin pelapis yang berkebolehan dan kuat untuk mengambilalih.

Selain dari Razak, mereka ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Harun Idris.

Dalam keadaan yang penuh cabaran, sebagai wira Bugis, Najib terus mempertahankan dirinya dalam politik, keselamatan dan juga ekonomi negara di samping berhempas pulas membersihkan imejnya berkaitan dengan 1MDB dan juga wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Keadaan ekonomi negara diuruskan oleh Najib tidaklah jatuh “ke taraf terlalu teruk”. Rakyat dikatakan masih mampu membeli belah, memenuhi kedai-kedai mamak, melancong keluar negara tetapi perlahan-lahan keyakinan rakyat terhakis kepada kepimpinannya.

Apa yang berlaku ialah trust deficit - rakyat hilang keyakinan kepada “kemantapan dan kebersihan pimpinan” Najib.

Semuanya adalah berpunca dari pengurusan maklumat yang tidak bijaksana dan tidak profesional dari awal. Dana RM2.6 billion datang dari pebagai punca walaupun mulanya diisytiharkan adalah derma Arab, pemulihan 1MDB sema sekali tidak menarik minat rakyat yang membuat kesimpulan ia adalah satu penipuan.

Gaya hidup mewah

Penyingkiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2016 dianggap sebagai hendak menyembunyikan pekara sebenar mengenainya.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor pula dilihat tidak sensitif kepada perasaan rakyat yang tidak senang dengan gaya kehidupan mewahnya dan juga kehidupan anaknya di luar negara yang dikaitkan dengan 1MDB dengan pembikinan filem dan pembelian harta.

Masalah yang dihadapi oleh Najib yang akan membawa kepada kejatuhannya dalam sehari dua lagi ialah trust deficit walaupun beliau tidak menjadikan rakyat peminta sedekah dan ekonomi negara hancur malah ada juga kemajuannya.

Keadaan yang dihadapi oleh Najib sama dengan keadaan yang dihadapi oleh presiden kedua Indonesia Suharto yang memberikan kemakmuran kepada rakyat selepas menjatuhkan Soekarno tetapi rakyat tidak berterima kasih kepadanya.

Saya bersyukur kepada Allah kerana saya dapat melihat dua era pemerintahan Indonesia dalam masa singkat iaitu saat-saat zaman Sukarno, presiden pertama republik itu berada diambang kejatuhannya.

Akhirnya dijatuhkan

Saya melihat kemiskinan yang tidak ada taranya di Jakarta dan Bandung dengan anak-anak yang bergelimpangan tidur di tepi-tepi jalan dan mengutip makanan buangan dari tong-tong sampah.

Bagaimanapun tidak lama selepas Suharto mengambil alih pemeritahan negara, Indonesia memasuki zaman pembangunan yang mantap dengan makanan rakyat terjamin, pembangunan pertanian berlaku di luar bandar, kedai-kedai penuh dengan barangan makanan dan lain-lain keperluan harian dan gerai-gerai makanan tumbuh di sana sini.

Jenayah berjaya dikurangkan.Wartawan-wartawan mulai mampu bermotosikal dan mempunyai mesin taip.

Bagaimanapun kestabilan ini tidak kekal lama bila cerita-cerita mengenai kemewahan hidup anak isteri Suharto terdedah dan mulai dipercayai rakyat, keluargnya juga memiliki harta dan wang yang banyak, majlis-majlis perkahwinan anak-anak mereka mencerminkan perbelanjaan yang begitu tinggi.

Akhirnya Suharto hilang kepercayaan rakyat. Kediktatorannya tidak lagi boleh mengawal kebangkitan rakyat. Beliau dijatuhkan malah beliau tidak mendapat simpati rakyat sekalipun dalam keadaan sakit.

Tuduhan-tuduhan penyalahgunaan kuasa terus dihadapkan kepadanya oleh pihak Pengadilan walaupun berada di hospital.

Bila hal ini berlaku saya merasa amat sedih kerana saya dapat membezakan antara zaman Sukarno dengan zaman Suharto yang tidak dapat dinilai oleh generasi baru.

Saya cuba meyakinkan pemandu teksi saya di Jakarta tentang zaman sekarang yang lebih baik tetapi dia tidak peduli sebaliknya terus bercerita tentang keburukan Suharto.

Inilah yang dihadapi oleh Najib sekarang sekalipun banyak sumbangan yang diberikan kepada rakyat kerana kepercayaan cash is king.

Beliau percaya undi dan juga keyakinan rakyat boleh dibeli dengan wang dan lain-lain pemberian seperti BRIM, wang kepada pemandu teksi dan kepada mereka yang hadir di majlis-majlis Umno.

Namun hakikatnya mereka ini tidak lupa GST mengecilkan pendapatan mereka, harga minyak naik turun dan barangan semakin mahal.

Hina orang tua yang berjasa

Najib menjanjikan masa depan yang tidak pasti.

Mereka tidak terpesona dengan janji ratusan ribu peluang pekerjaan di masa depan kerana anak-anak mereka memerlukan pekerjaan sekarang juga.

Dan lebih dari itu mereka ingat seorang tua yang sekarang berumur 93 tahun, di eranya menjadi perdana menteri, mereka hidup makmur dengan penuh keyakinan terhadap masa depan.

Mereka bangun pagi tanpa bimbang terhadap masa depan anak dan cucu cicit mereka. Setiap hari beliau melakukan sesuatu yang membina maruah bangsa dan agama. Mereka yakin dan bangga dengan slogan Malaysia Boleh kerana banyak telah dibuktikan oleh orang tua ini.

Dan sekarang mereka sedih kerana orang tua yang berjasa besar ini dihina dengan sehina-hinanya tetapi mereka masih yakin beliau boleh kembali membawa negara ini kembali bermaruah demi bangsa dan agama.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN adalah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS