Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GST bahayakan ekonomi jika dihapuskan - Wahid

Penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan meninggalkan kerajaan dengan tiga pilihan yang membahayakan ekonomi negara, kata Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Katanya pilihan kepada kerajaan sekiranya GST dihapuskan ialah menaikkan cukai pendapatan atau memperkenalkan cukai baharu seperti cukai keuntungan modal, meningkatkan defisit fiskal negara kepada lima peratus atau mengurangkan perbelanjaan, termasuk perbelanjaan pembangunan.

“Ini bermakna membatalkan atau menangguhkan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya ketiga-tiga pilihan berkenaan amat berbahaya kerana ia boleh menjejaskan pasaran modal dan mengakibatkan penarafan kredit hutang antarabangsa negara diturunkan kepada BBB daripada paras A3/A-.

“Ini sudah tentu akan meningkatkan kos pinjaman dan memudaratkan ekonomi negara,” katanya.

Wahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan Malaysia hanya mempunyai 2 juta pembayar cukai pendapatan, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia yang berjumlah 30 juta.

“GST ialah cukai penggunaan, di mana mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan lebih,” katanya.

Langkah pengenalan GST juga adalah selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang mensasarkan bajet seimbang dalam jangka masa pertengahan.

“Dengan peningkatan pendapatan kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal, malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan lebuh raya, jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa dan sebagainya.

“Ini termasuklah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang rancak pembinaannya, dan dijangkakan siap pada 2022,” katanya.

Wahid berkata cadangan untuk menghapuskan GST dan berbalik kepada sistem percukaian lama iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah suatu langkah ke belakang atau 'regressif’ dan berbahaya kepada ekonomi.

“Ini kerana kutipan GST pada tahun 2017 ialah sebanyak RM42 bilion, dan dijangkakan meningkat kepada RM44 bilion tahun ini berbanding kutipan SST RM17 bilion pada 2014,” katanya.

Beliau juga berkata sekiranya GST dimansuhkan, terdapat kekurangan pendapatan sebanyak RM27 bilion iaitu dua peratus daripada keluaran dalam negara Kasar( KDNK).

Kadar enam peratus yang dikenakan untuk GST juga adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah dalam i kalangan 160 negara di dunia yang mengguna pakai cukai berkenaan.

“Sebagai contoh, kadar di Singapura tujuh peratus, Thailand tujuh peratus, Indonesia 10 peratus, Vietnam 10 peratus, Filipina 12 peratus, Australia 10 peratus dan di UK jauh lebih tinggi iaitu 20 peratus,” katanya.

Wahid berkata bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali daripada GST termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan dan sebagainya, ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 dan Diesel.

Kerajaan juga, katanya telah mengumumkan langkah pengimbangan atau ‘offset’ dalam Bajet 2014 seperti pengurangan cukai pendapatan individu dari satu hingga tiga peratus, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25 peratus kepada 24 peratus dan pengurangan cukai perusahaan kecil dan sederhana dari 20 peratus kepada 19 peratus.

“Pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan juga ditingkatkan daripada RM500 kepada RM650 manakala isi rumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula diberikan BR1M RM450 buat pertama kali,” katanya.

Katanya dalam Bajet 2015, jumlah BR1M telah dinaikkan kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan dan RM750 bagi isi rumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan manakala untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350.

“Ini semua bertujuan untuk meringankan impak kenaikan harga barang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap sistem GST akan dikekalkan dan perhatian diberikan kepada memperbaiki pelaksanaan program dan projek-projek yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ini selaras dengan matlamat model baharu ekonomi yang menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan mampan,” katanya.

Wahid turut menyeru rakyat Malaysia supaya menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka dan bersatu untuk membangunkan negara.

“Jangan membenarkan pendapat politik memecah-belahkan atau mengasingkan keluarga. Silaturrahim perlu dikekalkan,” katanya.

Beliau turut menyarankan pengundi keluar mengundi awal dan menunaikan hak masing-masing sebagai warganegara Malaysia.

“Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing, bersikap membina dan menghayati/mengamalkan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undangan-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS