ULASAN l Pada tahun 2015, Tun Daim Zainuddin sangat gembira apabila saya bertanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang RM 2.6 billion yang berada di akaun bank peribadinya. Najib ketika itu, tidak pun bertanya kembali “Siapa Anina?”
Sekarang bila tiba giliran saya bertanya kepada Daim dan soalan saya semalam berbunyi begini, “Adakah kehilangan RM30 billion rizab BNM ada kaitan dengan kekayaan sepantas kilat Daim kerana beliau juga adalah menteri kewangan yang bertanggungjawab ke atas transaksi-transaksi misteri yang menyebabkan BNM kehilangan dana yang begitu besar, sebelum beliau meletakkan jawatan pada 1994”.
Saya benar-benar terkejut apabila Daim menjawab soalan saya dengan menyebut, “who the hell is she? Who is this bloody woman to challenge? Dulu dia puji Tun M bukan main. Hati rakyat Langkawi telah dicuri oleh Tun M”.
Saya menyokong usul yang dibuat oleh siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) tentang kehilangan RM30 billion wang BNM diteruskan dengan siasatan jenayah.
Kenapa rakyat Malaysia boleh bertanya apa sahaja soalan kepada Najib, tetapi tidak boleh bertanya kepada “kartel lama” Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya?
Adakah undi saya dan 14.7 juta pengundi Malaysia ini tidak bermaksud “sesiapa” bagi Mahathir, keluarga dan rakakan-rakannya? Nak bertanding PRU14 boleh turun berkempen dan memfitnah Najib, tetapi isu sendiri tidak boleh disentuh?
Bagi menjawab soalan Daim tentang siapa saya, saya adalah rakyat Malaysia dan Daim juga rakyat Malaysia. Saya ada satu undi dan beliau juga ada satu undi.
Beza antara saya dan Daim adalah, saya berbillion kali kurang kaya dari Daim tetapi itu tidak menghalang saya untuk bertanya tentang kekayaan Daim atas landasan demokrasi dan ketelusan.
Saya juga tertanya-tanya pernahkah Tan Sri Mokhzani Mahathir bertanya kepada bapanya tentang sumber maklumat untuk menyerang Najib berkaitan 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion itu.
Setahu saya, sumber yang digunakan oleh Mahathir adalah portal berita yang pernah menuduh dirinya sebagai ahli politik pencuri yang menyedut wang rakyat hingga kering di Malaysia, iaitu Sarawak Report yang beribu pejabat di London.
Walau bagaimanapun, saya sertakan senarai 488 syarikat dan organisasi yang dikuasai oleh keluarga Mahathir termasuk Mokhzani, Datin Paduka Marina, Tan Sri Mirzan dan Datuk Seri Mukhriz.
Semua 488 buah syarikat keluarga Mahathir ini berada di dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan saya berbesar hati untuk mengiringi Mokhzani ke pejabat SSM di Bangunan Lembaga Pembangunan Langkawi esok, Selasa, 8 Mei 2018.
Saya harap Mokhzani dapat lakukannya segera kerana Mahathir cuma ada kurang dari 30 jam untuk membersihkan namanya sebelum 42,000 pengundi Langkawi turun ke peti undi pada 9 Mei 2018.
Jika Daim dan Mokhzani mahu menyaman saya kerana menanyakan soalan, silakan. Apa yang saya ada hanya rumah dan 3 orang anak. Daim dan Mokhzani boleh mengambil rumah saya tetapi bukan anak-anak saya kerana saya akan berikan nyawa saya untuk pertahankan anak-anak saya.
Walaupun saya seorang ibu tunggal, anak-anak saya, integriti saya dan Tuhan saya sudah cukup untuk melengkapi hidup saya. Saya tidak pernah berkuasa dan tidak pernah mencuri dari rakyat hanya bertanya.
ANINA SAADUDIN mewakili NGO - Empirical Malaysian.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
