Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Syarikat teksi premium di ibu negara hari ini menyeru pemandu teksi di seluruh negara mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 9 Mei, esok.

Penasihat Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, beliau turut menggesa pemandu teksi supaya bangkit dan memangkah HARAPAN.

Ini kerana, menurutnya, dengan mengundi HARAPAN dapat menghentikan kezaliman yang dibuat perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.

"Kita dah bersiap sedia, semua pemandu teksi di seluruh Malaysia bersedia, akan memangkah HARAPAN.

"Kerajaan di bawah Najib dan (Datuk Seri) Nancy (Shukri) ini tak boleh diharapkan. Mereka telah lakukan kezaliman terhadap industri teksi terutamanya kepada pemandu yang kurang berkemampuan.

"Saya seru seluruh pemandu teksi di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, bangkitlah mengundi esok.

"Saya sedih apa yang dizalimi oleh Nancy dan Najib.

"Hari ini dan esok adalah hari terakhir buat BN. Cukuplah apa yang mereka buat pada industri teksi dan pemandu teksi," katanya dengan nada sebak sambil menitiskan air mata.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, Shamsubahrin turut mengkritik tindakan Najib yang memberi kad bantuan Teksi 1Malaysia bernilai RM800 kepada pemandu teksi.

Beliau mempertikaikan bantuan berkenaan yang diberi menjelang pilihan raya umum (PRU).

"Nak pilihan raya baru bagi kad dan kata 'kami memahami kesusahan kita (pemandu teksi)'.

"Mereka tidak boleh mempolitikkan pendapatan pemandu teksi, ada anak yang tidak ke sekolah, tak ada duit untuk makan," ujarnya yang turut memaklumkan terdapat kira-kira 180,000 pemandu teksi di seluruh Malaysia.

Pada 13 April lalu, Malaysiakini melaporkan, lebih 67,000 pemandu teksi seluruh negara menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia yang mengandungi nilai RM800 bagi pembelian petrol atau gas asli (NGV) di stesen minyak Petronas.

Najib ketika berucap pada majlis penyerahan kad berkenaan berkata beliau berharap kad itu dapat membantu pemandu teksi mengurangkan kos operasi harian.

Lihat Komen
ADS