Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengundi lapor polis tanda titik di kertas undi, nama digunakan
Diterbitkan:  May 9, 2018 12:58 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

PRU14 | Hanya kira-kira empat jam rakyat Malaysia keluar mengundi, sudah tiga laporan polis dibuat setakat ini.

Laporan polis yang dibuat antaranya mengenai kertas undi yang bertanda serta nama seorang pengundi yang didakwa telah "digunakan".

Di Pulau Pinang, pengadu Goh Por Cheong memberitahu beliau dimaklumkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa namanya telah membuang undi walaupun belum berbuat demikian.

Sehubungan itu, Goh yang sedang menunggu giliran untuk mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Kong Min Pusat, Air Itam sejak jam 8.30 pagi mengesyaki namanya telah diguna oleh orang lain.

"Saya dapati nama saya telah digariskan. Saya diberitahu oleh pegawai SPR bahawa saya telah pun mengundi.

"Tetapi saya belum mengundi dan sedang menunggu giliran. Saya syaki nama saya telah digunakan oleh orang lain," kata Goh yang dipetik dari laporan polis yang dibuatnya.

Di kawasan parlimen Batu, Kuala Lumpur pula Mohmad Sahrel Razali dan Mohd Faizal Anuar masing-masing membuat laporan polis kerana mendapati kertas undi mereka mempunyai tanda titik di kotak calon BN.

Menurut laporan polis yang dibuat, tanda titik itu terdapat di huruf H pada nama calon BN Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Malah, mereka juga mendakwa ketika memohon kertas undi yang baru daripada Ketua Tempat Mengundi (KTM), tanda itu berada di semua buku kertas mengundi.

"Apabila mahu menukar kertas undi tersebut kami dapati kesemua buku kertas mengundi mempunyai titik sama tersebut secara konsisten.

"Disebabkan itu tiada kertas undi baru dapat diberikan dan beliau (KTM) meminta saya meneruskan proses pembuangan undi.

"Ejen tempat mengundi sudah dimaklumkan dan beliau mengarahkan saya membuat laporan polis," menurut laporan berkenaan.

Lihat Komen
ADS