Most Read
Most Commented
Read more like this

Keluarga tahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didakwa terbabit dalam Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) menafikan pembabitan mereka yang ditahan itu dengan kumpulan militan.

"Kami percaya tindakan polis itu berniat jahat dengan menggunakan peruntukan Akta ISA. Kami menuntut supaya tahanan dibebaskan atau didakwa mengikut undang-undang jenayah yang sedia ada," demikian antara kandungan bantahan yang disampaikan oleh keluarga tahanan itu kepada Suhakam.

Hari ini, beberapa keluarga daripada 10 tahanan itu telah menghantar aduan kepada Suhakam kira-kira jam 3.15 petang . Pertemuan mereka dengan badan itu berlangsung hampir dua jam di ibu pejabat Suhakam di Menara Tun Razak, Kuala Lumpur.

Aduan mereka diserahkan kepada dua orang pesuruhjaya Suhakam iaitu Prof. Hamdan Adnan dan Mehrun Siraj.

Antara keluarga tahanan yang hadir hari ini ialah Abd. Lotfi Arifin, Abu Bakar Che Doi, Ahmad Tajudin Abu Bakar, Solehan Abdul Ghaffar, Alias Ngah, Noor Ashid Sakib dan Nik Adli Nik Abdul Aziz.

Turut hadir bersama keluarga tahanan itu ialah beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, Presiden Keadilan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar disertai hampir 50 orang penyokong.

Keangkuhan kerajaan

Fadzil Noor yang juga mewakili Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) berkata, penggunaan akta itu kepada 10 tahanan tersebut hanya menunjukkan keangkuhan kerajaan.

"Kerajaan semakin angkuh dengan penggunaan ISA dan seperti yang dibangkitkan di parlimen, kami menuntut akta ini dihapuskan kerana secara terang-terang melanggar prinsip dan hak asasi manusia," katanya.

Sementara itu di luar Menara Tun Razak yang menempatkan pejabat Suhakam, hampir 100 anggota polis antirusuhan dan anggota berpakaian biasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga

Dalam operasi sejak Khamis lalu, 10 orang ditangkap itu termasuklah anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz, ahli jawatankuasa Pemuda PAS Johor Noor Ashid Sakip dan Ketua Pemuda PAS kawasan Larut, Perak Ahmad Tajuddin Abu Bakar.

Tujuh yang lain, Solehan Abdul Ghaffar, Alias Ngah (kedua-duanya ditangkap di Kuala Terengganu), Zainun Ismail (Baling, Kedah), Abu Bakar Che Doi (Kuala Muda, Kedah), Asfawani Abdullah (Kuala Ketil, Kedah), Ahmad Pozi Darman (Hulu Tiram, Johor) dan Mohd Lothfi Ariffin (Kupang, Kedah).

Berikutan penahanan lapan anggota KMM, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai mengeluarkan kenyataan bahawa polis sedang memantau lebih 50 anggota kumpulan itu dan tidak menolak kemungkinan untuk menahan mereka mengikut akta yang sama.

Norian mendakwa tahanan-tahanan itu "pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS