Most Read
Most Commented
Read more like this

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2001 dengan memasukkan sumbang mahram sebagai satu kesalahan memandangkan gejala ini semakin berleluasa di kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim berkata sumbang mahram perlu dimasukkan ke dalam kanun keseksaan sebagai satu kesalahan berasingan seperti kesalahan-kesalahan lain seperti rogol dan kesalahan di luar tabi'i.

Beliau menyebut Fasal 6 bertujuan memasukkan seksyen baru 376A dan 376B ke dalam Kanun Keseksaan.

"Sekyen baru 376A mentakrifkan kesalahan sumbang mahram, manakala subseksyen baru 376B(1) memperuntukkan hukuman bagi kesalahan ini iaitu penjaratidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta boleh dikenakan sebatan," katanya.

Dr Rais berkata hukuman penjara tidak kurang enam tahun adalah lebih berat daripada kesalahan rogol yang membawa hukuman tidak kurang lima tahun penjara.

"...kerajaan memandang kesalahan ini sebagai suatu jenayah yang keji dan perlu ditangani dengan sewajarnya," ulas Dr Rais dalam sidang Dewan Rakyat.

Pembelaan khusus

Bagaimanapun, peruntukan subsekyen 376B(2) mencadangkan kanak-kanak lelaki berumur kurang 13 tahun atau kanak-kanak perempuan bawah umur 16 tahun akan mendapat pembelaan khusus.

"Di bawah sekyen itu hubungan jenis dengan perempuan bawah umur 16 tahun akan digolongkan kepada jenayah rogol walaupun perempuan itu memberi keizinan," jelas Dr Rais yang juga wakil rakyat Jelebu.

Menurut beliau lagi, seksyen 113 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan anggapan tidak boleh dipatahkan bahawa kanak-kanak lelaki bawah umur 13 tahun dianggap tidak berupaya melakukan rogol.

Sementara Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611] yang telah diluluskan sebelum ini telah dikuatkuasakan bagi menggantikan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 (Akta 106) yang telah dimansuhkan.

Hukuman sebat

Beliau berkata akta tersebut bertujuan melindungi wanita dan gadis daripada kejadian penganiayaan seksual dari pelbagai aspek.

Dr Rais menjelaskan kesalahan yang diperuntukkan dalam seksyen tersebut adalah sama dalam seksyen 16 Akta Perlindungan Wanita dan Gadis tetapi akan merangkumi pelacuran dan perbuatan lucah antara lelaki dan perempuan.

"Hukuman sebat telah dicadangkan supaya menjadi mandatori," ujar beliau terhadap kesalahan itu.

Beliau menyebut peruntukan Fasal 3 memasukkan seksyen baru 372A melarang mana-mana orang daripada hidup atas pelacuran seseorang, manakala seksyen baru 372B melarang kegiatan mencari pelanggan untuk tujuan pelacuran tidak kira kegiatan itu di tempat awam atau persendirian.

Bagi kesalahan di bawah sekyen 372A, hukuman telah bertambah kepada penjara mandatori, jelas Dr Rais .

Ketika menggulung perbahasan kanun keseksaan itu , beliau mengucapkan terima kasih kepada 11 wakil rakyat yang mengambil bahagian dalam sidang kali ini.

Sidang Dewan Rakyat berakhir hari ini dan akan disambung semula pada 8 Oktober.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS