Berita Malaysiakini

Pelantikan menteri tanpa restu PKR, dakwa Rafizi

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Rafizi Ramli mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi BERSATU, DAP dan AMANAH sebagai menteri kanan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa rundingan dengan PKR.

"Keputusan dibuat tanpa penyertaan kami (dalam perbincangan). Dia 'melanggarnya'...proses perbincangan yang sepatutnya tidak berlaku," kata naib presiden PKR itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum itu, beliau dalam kenyataan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana perbincangan masih berjalan.

"Sebarang keputusan mengenai apa-apa pelantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti HARAPAN," katanya.

Dalam sidang media petang tadi, perdana menteri mengumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri.

Mahathir berkata, ketiadaan wakil PKR dalam pengumuman itu mengambil kira presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sudah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, pelantikan menteri kabinet dibuat Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada perdana menteri.

Dalam kenyataan itu, Rafizi turut memaklumkan Mahathir akan bertemu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras untuk membincangkan soal pelantikan menteri.

Seorang pengawal di hospital itu mengesahkan Mahathir telah bertemu Anwar hari ini, tetapi keluar menerusi pintu belakang pada kira-kira 7 malam.

Mahathir tadi turut berkata kesemua empat parti komponen HARAPAN masing-masing diminta menghantar tiga nama, bagi baki tujuh kementerian yang belum diumumkan.

Kementerian itu adalah Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Multimedia, Sains dan Teknologi; dan Kementerian Luar Negeri.