Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salam perpisahan bekas KP SPRM
Diterbitkan:  May 14, 2018 9:32 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Mantan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan hari ini mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Mahathir yang membantu menumbangkan pemerintahan BN selama 61 tahun itu mendakwa SPRM tidak menghiraukan skandal rasuah, termasuklah berkaitan 1MDB.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7 selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei yang lalu," kata Dzulkifli dalam suatu kenyataan hari ini yang mengesahkan peletakan jawatannya.

"Saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memaklumkan bahawa saya telah menyerahkan surat penamatan kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, hari ini.


"Penamatan kontrak itu berkuat kuasa mulai hari ini dan saya akan melaporkan diri kembali ke Pejabat Peguam Negara esok," katanya.

Dzulkifli, asalnya bertugas di Jabatan Peguam Negara, sebelum di'pinjam'kan kepada SPRM selepas persaraan bekas ketua pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

SPRM menyaksikan perubahan pengurusan tertingginya berikutan siasatan suruhanjaya itu terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai deposit berbilion ringgit ke dalam akaun bank peribadinya dan perkara berkenaan 1MDB.

Najib telah meletak jawatan sebagai pengerusi BN dan presiden Umno selepas memimpin gabungan itu ke kancah kekalahan pertama sejak kemerdekaan.

Dzulkifli juga mengucapkan terima kasih kepada SPRM atas sokongan yang diberikan kepadanya.

"Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga SPRM yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatan saya mulai 1 Ogos 2016," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS