Paling Popular
Terkini

PULASAN | Tarikh 29 September wajar dikenang-kenang sepanjang masa, terutama selepas 9 Mei 2018 yang bersejarah itu.

Pada hari itulah kemarahan majoriti rakyat membuak-buak. Ketika panas pemecatan Anwar Ibrahim memang berada pada tahap tinggi - dan orang ramai umumnya keliru - susuk itu muncul di mahkamah.

Mujur ada lensa kamera sempat merakam detik sejarah itu. Maka dapatlah kita dan anak cucu kita bersembang-sembang bahawa satu ketika dulu di negara ini seorang bekas timbalan perdana menteri pernah lebam matanya kerana dibelasah seorang pegawai yang sangat tinggi dalam pasukan polis.

Sejak itu gerakan Reformasi berlangsung. Sejak itu juga satu demi satu pilihan raya dilalui namun hegemoni penguasa tetap utuh. Adalah sekali dua ia terluka parah, namun pada kebanyakan waktu ia agak kebal.

Kalau ada pun, cuma calar-balar dan birat-birat di sana sini.

Daripada kejadian mata lebam itu jugalah terciptanya simbol PKR. Bukan calang-calang orang yang menghasilkannya. Beliau seorang seniman negara iaitu allahyahram Syed Ahmad Jamal.

Logo itu wujud dalam bentuknya yang tersendiri sehinggalah suatu hari hampir semua parti pembangkang tergerak hati mahu menerima 'mata' berkenaan sebagai lambang bersama.

Ia adalah simbol kebersamaan. Paling besar perlu berkorban tentulah DAP yang sejak puluhan tahun mereka berbangga dengan roket yang satu itu.

Mujur juga Jabatan Pendaftar Pertubuhan belum lagi menerima Pakatan Harapan sebagai entiti yang rasmi.

Maka simbol mata - yang dilawakkan sesetengah orang terasa cerdik pandai sebagai lebam kerana ada merah di tepinya itu - disepakati sebagai simbol tunggal pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Dan selebihnya adalah sejarah.

Tenungan tajam lain macam

Cuma mata bukan sekadar itu pengaruh dalam politik di negara ini nampaknya.

Beberapa ketika sebelum PRU ke-14 ada satu renungan sepasang mata yang sangat diingati orang. Ia adalah tenungan yang tidaklah kompleks sangat tetapi teradun di dalamnya pelbagai tafsiran.

Kebanyakannya yang luculah. Terkucil atau tidak, itu isu sekunder. Renungan epik itu rasanya akan tetap dikenang-kenang orang untuk satu tempoh yang lama.

Tenungan itu jugalah yang terpancar dari wajah Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menyerahkan surat watikah pelantikan sebagai perdana menteri di Istana Negara pada 10 Mei lalu.

Detik selepas kemenangan HARAPAN memang mengundang debaran, tetapi debar menunggu Dr Mahathir dilantik secara rasmi sebagai perdana menteri sekali lagi, jauh lebih mencemaskan.

Cuma selepas beliau menandatangani surat pelantikannya dan menyerahkan kertas itu kepada Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Shariff, beliau sekali lagi memberikan tenungan mata yang tidak tajam, tetapi menyakitkan sesiapa yang berkenaan.

Debur di pantai dapat didengar pecahnya, debar di dalam hati siapa yang tahu.

Semalam untuk kali pertama perdana menteri bertemu dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan dipimpin ketua setiausaha negara (KSN).

Tidak dapat dipastikan sejauh mana debar orang yang hadir pada pertemuan berkenaan. Ia agak simbolik kerana tidak berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, sebaliknya sekadar Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pada gambar yang diciap KSN itu sekali lagi tenungan Dr Mahathir menarik perhatian. Bibirnya menguntum senyum tapi matanya itu, ah!

Terdera aib dan luka

Tidak berapa lama dulu seorang pegawai kanan agensi kerajaan juga dikaitkan dengan skandal di negara jiran. Ia adalah sebuah kisah yang mendebarkan juga.

Apakah ada kaitan drama itu dengan mata? Ada.

Tanpa "mata-mata" yang khusus kita mungkin tidak akan tahu bahawa seorang pegawai kanan dan mempunyai kuasa boleh dikaitkan dalam skandal seintrig itu.

Semua orang tahu BN berdepan sentuhan kencundang untuk kali pertama dalam sejarahnya pada 9 Mei lalu. Bagaimana mereka menguruskan aib dan luka itu adalah hal dalaman masing-masing.

Tetapi harus diakui kegagalan Umno dan BN itu juga berpunca daripada 'mata'. Mereka gagal melihat apa yang dirasai rakyat ketika sebahagian daripada orang yang terlibat membawa gelaran wakil rakyat.

Sengsara orang ramai diperkecilkan. Rungutan masyarakat disambut dengan gula-gula yang tidak seberapa. Dan paling penting, sudut pandang pemimpin BN dibutakan oleh hati masing-masing.

Ia ibarat kisah maharaja yang berbangga dengan pakaian baru dan halimunannya. Malah tidak seperti kisah diilhamkan Hans Christian Andersen 181 tahun lalu, di negara ini yang bergaya dengan pakaian baru halimunan itu bukan saja maharaja tetapi maharani.

Ia adalah manifestasi budaya mengampu, mengipas dan menjilat yang sangat subur dalam politik negara. Ia berlaku pada kadar yang melampau dan melimpah-ruah.

Mata tidak hairanlah apabila sesudah tertubuhkan kerajaan baru selepas BN ini pun, amalan berkenaan sangat meriah dilakukan. Jika dulu ampu, kipas dan jilat diarahkan kepada Umno/BN sekarang ada petanda menunjukkan ampuan, kipasan dan jilatan itu cuba dihalakan kepada HARAPAN pula.

Sekali lagi, pada matalah terletaknya pertimbangan. Adakah mata orang yang baru diberikan kuasa itu mampu menterjemah aksi pegun (stunt) murahan berkenaan atau tidak - itulah yang akan menentukan kelangsungan hayat politik mereka.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS